KUALA LUMPUR 9 Mac – Seorang wanita yang terpaksa mengutip barangan buangan dan menjualnya semula sebagai pekerjaan harian  untuk punca pendapatan, dibantu oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Bahagian Lembah Pantai.

Siti Noor Madzariah Mohamed, 44, ibu kepada lima orang anak, telah melakukan pekerjaan itu sejak beberapa tahun lalu.

Kesempitan hidup wanita itu, ditambah menghadapi masalah keluarga setelah berpisah dengan suaminya,  mendapat perhatian BERSATU Bahagian Lembah Pantai.

Difahamkan, tidak kesemua anak-anak wanita itu pada masa ini tinggal bersamanya.

Kisah Siti Noor Madzariah itu yang tinggal di PDM Seri Sentosa Selatan menjadi visal dan BERSATU Lembah Pantai berjaya mengesan kedudukannya sebelum menyampaikan bantuan termasuk barangan makanan serta wang tunai.

Ketua  BERSATU Bahagian Lembah Pantai, Ir. Zainal Ariffin Osman memberitahu,  walaupun wanita itu mendapat bantuan termasuk dari Baitulmal dan sebagainya, namun ia masih belum mencukupi.

“BERSATU Lembah Pantai akan cuba membantu terutama dari segi pekerjaan yang sesuai untuk Siti Noor Madzariah.

“Yang lebih penting adalah pekerjaan. Kita akan cuba mengusahakannya termasuk dari syarikat swasta,’’ katanya.

Zainal berkata, dengan pekerjaan yang sesuai, Siti Noor Madzariah akan dapat menguruskan dirinya dengan lebih baik lagi.

“Kita juga mendengar keluhan Siti Noor Madzariah mengenai kehidupannya dan kita akan cuba membantu sedaya mungkin.

“BERSATU Lembah Pantai akan mengetengahkan kepada Baitulmal agar bantuan RM300 sebulan kepada wanita itu dapat ditambah memandangkan ia tidak mencukupi,” katanya.