KUALA LUMPUR 12 Mac – Rakyat kini dapat menilai manifesto sebenar Perikatan Nasional (PN) iaitu antaranya bajet serta pakej rangsangan yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Penjelasan itu diberikan oleh Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Wan Saiful Wan Jan ketika menjawab pertanyaan dalam program Ruang Bicara Bernama TV bertajuk Manipulasi Politik yang disiarkan secara langsung dan dikendalikan oleh moderator Shuhaimi Mohamed.

Menurut Wan Saiful, mungkin ada pihak yang tertanya-tanya, malah mempersoalkan bahawa kerajaan PN tidak ada manifesto untuk pilihan raya dan mentadbir negara.

“Tapi rakyat boleh menilai manifesto kerajaan Perikatan Nasional termasuk bajet membela rakyat dan yang akan datang ialah pakej Rancangan Malaysia ke-12.

“Semua ini termasuk belanjawan yang diperkenalkan kerajaan adalah untuk rakyat, membela rakyat dan demi kepentingan rakyat,” katanya.

Program Ruang Bicara itu berlangsung selama satu jam dan Wan Saiful juga berkesempatan menjawab beberapa pertanyaan penonton yang membuat panggilan telefon bertanyakan isu-isu politik semasa termasuk kerjasama antara BERSATU, Pas, UMNO selain mengenai Perikatan Nasional.