SUNGAI PETANI 13 Mac – Ahli akademik, Dr. Kamarul Zaman Yusoff berpendapat, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) harus bersiap sedia mulai sekarang kerana pertandingan tiga penjuru dalam PRU-15 yang akan datang tidak dapat dielakkan.

Pada masa sama, beliau berkata, persepsi dalam kalangan rakyat mengenai imej BERSATU pada masa ini adalah positif kerana hubungan baiknya dengan semua pihak termasuk parti politik dan rakyat.

“Saya percaya dan dapati hubungan BERSATU dengan rakyat adalah baik dan tidak ada masalah.

“Sebaliknya rakyat melihat UMNO yang ada masalah dengan negara dan rakyat,” katanya ketika menjadi ahli panel dalam program Dialog Penerangan BERSATU Malaysia di sini.

Pada program dialog itu, Ketua Penerangan BERSATU Malaysia, Datuk Wan Saiful Wan Jan bertindak sebagai moderator.

Seorang lagi ahli panel, Prof. Madya Dr. Malike Brahim pula berkata, BERSATU perlu meningkatkan lagi jentera sedia ada bagi menghadapi apa jua kemungkinan.

Jelasnya, setiap jentera BERSATU perlu menguasai kebolehan seperti komunikasi, pengurusan, media sosial, dialog dan banyak lagi.

Menurutnya, kebolehan-kebolehan tersebut dapat mendekatkan lagi jentera BERSATU kepada bahagian, sayap-sayap dan juga rakyat.

“Sudah tiba masanya BERSATU menguar-uarkan secara terbuka kewujudan ahli-ahli jawatankuasa bahagian, sayap-sayap dan sebagainya kepada umum. Ini satu publisiti untuk rakyat mengetahuinya dan tidak lagi disembunyikan,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi ahli panel, Ketua Penerangan BERSATU Negeri Kedah, Kharul Anuar berkata, bagi menyakinkan ahli-ahli parti, Penerangan BERSATU perlu meneruskan jelajah dan penerangan kepada bahagian dan sayap-sayap.

Menurutnya, melalui langkah itu, ahli-ahli akan dapat maklumat yang tepat dan secara langsung menyakinkan lagi kemampuan terhadap parti.

“Ahli-ahli parti di peringkat bahagian dan sayap-sayap juga perlu menguasai media sosial bagi menjawab serta memberi penerangan kepada rakyat berkaitan sesuatu isu,” katanya.