SUNGAI PETANI 13 Mac – Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) memulakan jelajah Dialog Penerangan BERSATU Malaysia di sini, yang menjadikan Kedah sebagai negeri pertama untuk program jelajah tersebut.

Program itu diketuai oleh Ketua Penerangan BERSATU Malaysia, Datuk Wan Saiful Wan Jan.

Ketua Badan Perhubungan Negeri Kedah, Datuk Suhaimi Abdullah merasmikan program tersebut serta dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kayu Hitam yang juga Exco Kerajaan negeri, Halimahton Saadiah Saad.

Suhaimi dalam ucapannya meminta ahli-ahli BERSATU terus bersatu dan mempertahankan parti.

“Ahli-ahli perlu mempertahankan parti dan juga Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Kewibawaan Muhyiddin yang mengadakan lawatan ke Arab Saudi baru-baru ini serta mendapat tambahan kuota haji, menjadi aset kepada parti dan negara ini. Oleh itu, kita harus mempertahankan presiden kita.

“Kita mahu ahli-ahli BERSATU bersuara menyatakan sokongan padu  kepada Muhyiddin. Bila ada pihak yang memburuk-burukkan parti dan presiden, kita jangan berdiam diri sebaliknya perlu bersuara,”katanya.

Di samping itu, beliau juga menggesa ahli-ahli BERSATU supaya jangan menyentuh hal-hal peribadi apabila berhadapan dengan parti lawan.