IPOH 14 Mac – Ketua-ketua Penerangan Bahagian memainkan peranan penting bagi memberi maklumat muktahir mengenai isu-isu politik semasa kepada akar umbi,  kata Setiausaha Badan Pimpinan BERSATU Negeri Perak, Dato’ Zainol Fadzi Paharudin.

Beliau berkata, melalui penerangan tersebut, ahli-ahli Parti Pribumi  Bersatu Malaysia (BERSATU) akan mendapat maklumat yang tepat dan betul mengenai situasi politik semasa.

“Menjadi tanggungjawab ketua-ketua Penerangan Bahagian memberi  maklumat yang betul dan tepat kepada ahli-ahli  akar umbi.

“Selain mengenai situasi politik semasa, maklumat mengenai isu-isu lain seperti ekonomi dan sebagainya juga perlu disampaikan agar rakyat faham,” katanya ketika merasmikan program Dialog Penerangan BERSATU Malaysia bagi Negeri Perak di sini.

Majlis dialog Penerangan BERSATU itu turut dihadiri Timbalan Presiden BERSATU, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu dan Ketua Penerangan BERSATU Malaysia, Datuk Wan Saiful Wan Jan.

Dalam pada itu, Zainol Fadzi menggesa agar ketua-ketua Penerangan Bahagian mempersiapkan diri dengan pengetahuan serta ilmu agar maklumat yang disampaikan dapat memberi kesan positif.