TANAH MERAH 17 Mac – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Bahagian Tanah Merah mempunyai pendekatan yang agak berbeza apabila menyantuni penduduk dengan mengagihkan vitamin khusus untuk kanak-kanak selain membaiki rumah penduduk yang uzur.

Pendekatan sedemikian didapati berjaya merapatkan hubungan dengan penduduk selain meningkatkan lagi keyakinan masyarakat terhadap kepemimpinan bahagian berkenaan.

Ketua BERSATU Bahagian Tanah Merah, Bahari Mohamad Nor berkata, yang terbaharu pihaknya termasuk ahli jawatankuasa bahagian menyantuni lima keluarga di Kampung Air Laka dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemahang.

Menjelaskan lebih lanjut, beliau  memberitahu, pengagihan vitamin itu antara lain bertujuan menjaga kesihatan kanak-kanak terutama apabila mereka ke sekolah.

“Harapan kami, kanak-kanak di kampung berkenaan sentiasa sihat dan keadaan ini dapat meningkatkan lagi pembelajaran mereka.

“Selain agihan vitamin, kami juga menyelitkan nasihat mengenai penjagaan kesihatan untuk kanak-kanak ini amalkan. Sebanyak lapan orang kanak-kanak diberikan vitamin dan program ini akan kita perluaskan lagi,” katanya.

Pada program tersebut, kata beliau, BERSATU Bahagian Tanah Merah juga berkesempatan meninjau keadaan rumah penduduk di situ.

“Mana-mana rumah penduduk yang uzur seperti bumbung rosak atau bocor, kita akan tengok bentuk bantuan yang sesuai untuk dibaiki,” katanya.

Selain agihan vitamin, baiki bumbung rumah, penduduk, program berkenaan juga melibatkan penyerahan bantuan kewangan kepada keluarga yang kurang berkemampuan.

“Kita ziarahi warga emas selain keluarga yang baru mendapat cahaya mata,” katanya.