KUALA LUMPUR 18 Mac – Kerisauan mengenai keselamatan penduduk dan peniaga Alam Damai yang disuarakan sebelum ini mendapat perhatian apabila satu perbincangan antara wakil penduduk dengan Dewan Bandaraya Kuala  Lumpur (DBKL) diadakan di sini.

Perbincangan bagi menyuarakan rasa tidak puas hati serta mencari titik penyelesaian itu diadakan berikutan projek cadangan penutupan jalan Alam Damai bagi memberi laluan kerja-kerja menyiapkan projek SUKE.

Pertemuan itu diadakan di bangunan DBKL II, Jalan Raja Laut dan  dipengerusikan oleh Pengarah Jabatan Pengangkutan Bandar DBKL, Yu Chuan Hock.

Manakala wakil penduduk dan peniaga Alam Damai pula diwakili oleh Timbalan Pengerusi Kariah Masjid Al-Mukhlisi, Dato’ Seri Izwan Shah.

Isu melibatkan penduduk dan peniaga Alam Damai itu sebelum ini mendapat perhatian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Bahagian Bandar Tun Razak.

Susulan dari itu, Ketua BERSATU Bahagian, Mohd. Shahni Ismail

yang menerima keluh kesah penduduk telah mengaturkan perjumpaan antara penduduk serta peniaga dengan DBKL.

Mohd. Shahni berkata, perbincangan telah diadakan dengan DBKL bagi mencari jalan penyelesaian yang terbaik.

“Penduduk telah memberikan beberapa cadangan untuk DBKL pertimbangkan sebagai jalan terbaik penyelesaian masalah di Alam Damai,” katanya yang turut menyertai perbincangan berkenaan.

Di samping itu katanya, penduduk dan peniaga juga meluahkan rasional kegusaran dan kebimbangan mereka dari aspek keselamatan dan kesan terhadap ekonomi kepada mereka.

“Turut disuarakan ialah kesan negatif terhadap kesesakan jalan di waktu puncak, laluan kenderaan berat, kerosakan jalan dalam taman serta mampu menjejaskan ketenteraman awam khasnya penduduk Alam Damai.

“Penduduk memohon penutupan jalan hanya dibuat pada waktu malam, dan waktu siang jalan dibuka seperti biasa.

“Pemasangan jaring keselamatan adalah perlu bagi memastikan keselamatan pengguna jalan yang melaluinya dijaga, serta aktiviti ekonomi di sekitar laluan ini boleh berjalan seperti biasa,” kata Mohd. Shahni.

Hasil perbincangan itu kata beliau, satu sesi lawatan ke tapak projek akan diadakan dalam masa terdekat bagi mendapatkan gambaran lebih jelas dan tepat.

“Kita harap semua masalah penduduk dan peniaga ini dapat diselesaikan segera,” katanya.