KUALA LUMPUR 24 Mac – Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador hari ini menggesa setiap anggota dan pegawai dalam pasukan itu supaya sentiasa mendaulatkan undang-undang negara yang sedia ada.

Beliau berkata, tindakan mendaulatkan undang-undang itu akan dapat memastikan negara ini bergerak maju ke hadapan.

Sebaliknya tegas Abdul Hamid, jika ada anggota atau pegawai  polis yang lalai atau cuai menjalankan tanggungjawab serta amanah yang diberikan, maka negara ini akan berhadapan dengan kehancuran.

“Kita sebagai warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) harus dan wajib mendaulatkan undang-undang negara dan dengan cara ini barulah negara dapat bergerak maju ke hadapan.

“Sebagai anggota dalam pasukan keramat ini, jangan sekali-kali kita cuai atau lalai menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan kerana ia boleh menghancurkan masa depan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi sempena sambutan Hari Polis ke-214.

Menurutnya, setiap anggota dan pegawai polis juga perlu menanamkan azam baharu pada diri masing-masing untuk terus berkhidmat dengan penuh berdisiplin dan berintegriti.

“Saya ucapkan selamat Hari Polis kepada semua warga PDRM. Sambutlah hari bersejarah ini dengan rasa penuh kesyukuran kerana keamanan negara telah berjaya dipelihara,” katanya.