IPOH 26 Mac – Kerajaan melalui Kementerian Kesihatan digesa meningkatkan lagi pendedahan mengenai keperluan mengambil vaksin Covid-19 memandangkan jumlah yang mendaftar untuk mendapatkan vaksin tersebut kurang daripada 50 peratus keseluruhan rakyat Malaysia.

Pendedahan termasuk kempen serta khidmat nasihat itu perlu diadakan secara besar-besaran dan menyeluruh agar rakyat faham serta prihatin dengan keperluan vaksin berkenaan.

Setiausaha Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Negeri Perak, Dato’ Dr. Zulkifl Abdul Aziz berkata, walaupun jumlah rakyat negara ini melebihi 32.7 juta orang, namun yang mendaftar adalah kurang 50 peratus walaupun program vaksin tersebut kini akan memasuki fasa kedua.

“Walaupun pendaftaran vaksin boleh dilakukan melalui aplikasi selain di hospital atau klinik, hotline, program tertentu dan laman sesawang, namun jumlah yang telah mendaftar dianggap kecil.

“Sesuatu perlu dilakukan bukan sahaja dari segi kempen, malah penerangan termasuk turun padang berjumpa rakyat.

“Selagi jumlah yang mendaftar adalah kecil, pandemik ini tidak akan selesai sebelum keseluruhan rakyat negara ini divaksinkan,” katanya.

Beliau berkata, seluruh agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan hendaklah sama-sama membantu memberi pendedahan mengenai keperluan mengambil vaksin ini.

Jelasnya, pendedahan tersebut dapat menangkis pelbagai tanggapan negatif mengenai vaksin Covid-19.

“Semua pihak termasuk masjid, ketua kampung, NGO serta agensi-agensi penguat kuasa lain dan pihak berkuasa tempatan perlu sama-sama mempertingkatkan kempen membantu kerajaan member pendedahan mengenai vaksin ini.

“Kita tidak boleh hanya serahkan tugas tersebut hanya kepada Kementerian Kesihatan.

“Jika ramai rakyat Malaysia yang tidak daftar atau enggan mengambil vaksin ini, dikhuatiri masalah pandemik ini tidak akan selesai dan seterusnya akan membawa kepada masalah lain seperti ekonomi dan sebagainya,” katanya.