SHAH ALAM 27 Mac – Badan Pimpinan Negeri Selangor menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi serta meminta rakyat negeri ini akur dengan titah baginda Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menegaskan kalimah Allah dalam kitab Bible (terjemahan bahasa Melayu) atau percetakan apa-apa buku dan tulisan agama Kristian di dalam apa-apa bentuk yang mengandungi kalimah Allah dilarang penggunaannya di Selangor.

Ketua Badan Pimpinan Negeri Selangor merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)  Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari berkata, titah baginda itu merupakan arahan yang menjadi ketetapan dan ia perlu dipatuhi.

Jelasnya, jika ada pihak yang melanggarnya titah tersebut, ia menjadi satu kemurkaan kepada baginda.

“Titah baginda sultan amat jelas. Rakyat perlu patuhi. Setiap titah merupakan arahan baginda kepada semua pihak,” katanya.

Di samping itu, beliau turut menggesa agar rakyat di negeri ini tidak mempolitikkan titah baginda Sultan Selangor itu.

Kelmarin, Sultan Sharafuddin menegaskan kalimah Allah dalam kitab Bible (terjemahan bahasa Melayu) atau percetakan apa-apa buku dan tulisan agama Kristian di dalam apa-apa bentuk yang mengandungi kalimah Allah dilarang penggunaannya di Selangor.

Baginda juga mengulangi pendirian bahawa kalimah Allah ialah suatu kalimah suci umat Islam dan hanya boleh digunakan untuk merujuk kepada Tuhan Yang Maha Esa yang mempunyai sifat kesempurnaan.

Titah baginda, kalimah Allah tidak boleh diletakkan di tempat yang salah atau diguna selain daripada maksud Tuhan Yang Maha Esa yang menjadi asas pegangan akidah umat Islam.

“Penegasan beta ini juga selaras dengan keputusan Mahkamah Persekutuan di dalam kes Titular Roman Catholic Archbishop of Kuala Lumpur melawan Menteri Dalam Negeri pada 2014 dan fatwa yang diwartakan di Selangor pada 18 Februari 2010 yang menyatakan bahawa kalimah Allah tidak boleh digunakan atau disamakan dengan tuhan bagi agama-agama bukan Islam yang lain,” titah baginda.