KLANG 28 Mac – Kehadiran Pas dalam Perikatan Nasional (PN) dilihat bertujuan mewujudkan penyatuan Melayu dan semua kaum kerana itulah kehendak besar rakyat negara ini.

Presiden Pertubuhan Intelektual Negara (Pintar) merangkap Setiausaha Agung Persatuan Ulama Malaysia (PUM), Prof. Dr. Mohd. Roslan Mohd. Nor berkata, jika ada parti politik yang menolak PN, kemungkinan besar Pas akan mengkaji semula kerjasama dan kedudukannya dengan parti politik terbabit.

“Kita harus akui bahawa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan PN tidak ada masalah dari persefahaman dan kerjasama.

“Namun, jika ada parti politik yang menolak PN, kemungkinan Pas akan mengkaji semula kerjasamanya dengan parti politik terbabit kerana ia secara langsung menolak penyatuan Melayu dan semua kaum,” katanya.

 

 

Mohd. Roslan berkata demikian ketika menjadi ahli panel dalam Dialog Penerangan BERSATU Malaysia peringkat Negeri Selangor di sini.

Dalam program itu, Ketua Penerangan BERSATU Malaysia, Datuk Wan Saiful Wan Jan bertindak sebagai moderator. Beliau berkata, walaupun kerjasama BERSATU dan Pas serta parti komponen lain dalam PN adalah baik dan erat, namun BERSATU jangan cepat berpuas hati.

Jelasnya, masih banyak ruang perlu diperbaiki serta dipertingkatkan lagi dalam kerjasama tersebut.

“BERSATU perlu tingkatkan lagi kerjasama tersebut agar hubungan dengan parti komponen dalam PN lebih erat,” katanya.

Di samping itu, Mohd. Roslan turut mengingatkan mana-mana ahli politik yang dipilih untuk bertanding dan kemudian menang dalam PRU-15 supaya sentiasa mudah ditemui mahupun didekati oleh rakyat.

“Jika sebelum bertanding dalam PRU-15, rakyat mudah menemui dan mendekati pemimpin, jangan pula nanti apabila sudah menang dan jadi wakil rakyat, ada rungutan bahawa pemimpin berkenaan sukar untuk didekati atau ditemui.

Perkara ini perlu sentiasa diingat kerana rakyat menilai kedudukan kita sebagai pemimpin,” katanya.