Angkuhnya Pemuda, sombongnya bila berkata, penuh dengan hasad dengki pada niat dan tuturnya dapat dilihat dengan jelas dalam Persidangan Pemuda UMNO di PWTC.

Berbeza dengan Persidangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang lepas, kita boleh melihat pimpinan BERSATU terutamanya Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin membawa mesej penyatuan kepada seluruh perwakilan.

Penyatuan parti-parti politik terutamanya UMNO, Pas, BERSATU menjadi harapan besar diterjemahkan oleh Tan Sri Presiden kepada ahli-ahli BERSATU supaya berpegang kepada tali Allah SWT untuk menjayakan rencana besar penyatuan rakyat Malaysia khususnya Melayu Islam.

Mesej yang sama disuarakan oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang sering mengucapkan ‘perpaduan ummah’ melalui Wacana Minda Presiden Pas dalam laman media sosialnya.

Setiap tuturnya tidak lain tidak bukan adalah demi kebaikan ummah hari ini dan juga hari mendatang.

Malangnya, semalam kita telah melihat persidangan yang penuh dengan ‘hasad dengki’ oleh Ketua Pemuda UMNO yang tanpa henti menyerang BERSATU malah turut juga menyerang Pas dengan rakus.

Wahai Pemuda angkuh, sedarlah bahawa Tan Sri Presiden BERSATU dan Datuk Seri Presiden Pas berdiam diri setiap kali diserang oleh sesetengah pimpinan UMNO kerana mereka memahami, agenda penyatuan ummah adalah lebih penting dan perlu dijayakan. Mereka tidak mahu ‘jambatan penyatuan’ ini rosak di tengah jalan ketika sedang dibina.

Sudah tiba masanya, Tan Sri Presiden BERSATU dan Datuk Seri Presiden Pas melakukan sesuatu demi maruah parti.

Tiba masanya ‘kelembutan’ hati tidak lagi diberikan kepada mereka yang sombong ini.

Kalau sudah berani menghina dan memijak maruah orang lain, tiada lagi pilihan yang tinggal buat mereka.

Pantun telah ‘dijual’ dengan kesombongan di atas pentas persidangan.

Oleh itu, suatu tindakan yang tegas dan konkrit perlu diambil oleh ‘Abah’ Presiden berdua. Pantun yang angkuh telah pun dijual harus dibeli serta dibalas.

Kecil tapak tangan, nyiru kami tadahkan. Terlajak perahu boleh berundur, terlajak kata, buruk padahnya.

Biar lipatan sejarah peristiwa ini menjadi saksi siapa yang mengagalkan rencana murni penyatuan ummah. Biar generasi akan datang tahu bahawa parti mana yang berjuang demi kepentingan diri mereka dan bukan demi kebaikan rakyat Malaysia seperti yang dilaungkan.

MOHD. HAMIDI ABU BAKAR
Ketua Penerangan BERSATU Selangor