KUALA LUMPUR 30 Mac – Dialog Penerangan BERSATU yang membuka tirai bermula di Sungai Petani, Kedah, diikuti di Ipoh, Perak dan yang terbaharu di Klang, Selangor mahu tidak mahu perlu diakui sebagai platform terbaik untuk memperkukuhkan jentera Penerangan Pusat, negeri, bahagian, Srikandi dan Armada.

Program Dialog Penerangan yang baru bermula itu, kini sedang memperluaskan sayapnya ke negeri-negeri lain dalam masa terdekat.

Usaha dan gerakan yang diterajui oleh Ketua Penerangan BERSATU Malaysia, Datuk Wan Saiful Wan Jan itu memberi pelbagai persepsi sebelum ia bermula lagi.

Setiausaha Biro Penerangan BERSATU merangkap Ketua Pengarah Jabatan Penerangan BERSATU Malaysia, Datuk Hishamuddin Abdul Karim ketika diajukan pertanyaan berkata, program dialog itu secara terbuka menerima pandangan ahli-ahli yang bersuara dan memberikan pendapat dalam program tersebut.

Menurutnya, walaupun berhadapan pelbagai kekangan untuk menganjurkan program-program dialog berkenaan, namun konsep yang dipegang oleh Jabatan Penerangan BERSATU Malaysia ialah ia perlu diteruskan supaya semua ketua Penerangan dan ahli BERSATU mendapat maklumat yang tepat.

Secara langsung program Dialog Penerangan itu memberi isyarat bahawa `gendang perang’ telah dipalu sebagai tanda bahawa BERSATU perlu bersiap sedia mulai sekarang bagi menghadapi pelbagai kemungkinan termasuk PRU-15.

Dalam pada itu, kata Hishamuddin, sebaik sahaja Dialog Penerangan membuka tirai, persepsi negatif yang dilemparkan sebelum ini bertukar positif apaibla ketua-ketua Penerangan Negeri, Bahagian, Srikandi dan Armada mula memahaminya selepas diberikan penjelasan serta maklumat.

Yang jelas, dari tiga program dialog tersebut, lebih 300 ahli BERSATU termasuk Ketua Penerangan Negeri, Bahagian, Srikandi dan Armada menyertainya.

Turut hadir Ketua-ketua Bahagian dan ahli-ahli Bersekutu. Malah, ada kalangan ahli Bersekutu dari negeri lain yang hadir sebagai pemerhati atas dasar mahu memahami jentera Penerangan selain menyampaikan maklumat dan bertukar-tukar idea.

Hishamuddin memberitahu, dalam setiap dialog tersebut akan diberikan penjelasan serta maklumat kepada ketua-ketua Penerangan melibatkan peranan serta tanggungjawab mereka.

“Kita mahu ketua-ketua Penerangan jelas dengan peranan mereka. Malah, dari dialog itu, ada negeri yang bersetuju menubuhkan Jabatan Penerangan mereka mengikut struktur Jabatan Penerangan Pusat.
“Bagi negeri yang belum diadakan dialog Penerangan kita minta mereka bersabar kerana program ini berjalan berterusan,” katanya.

Hishamuddin mengakui pelbagai persepsi diberikan oleh negeri-negeri sebelum program dialog itu diadakan, namun yakin ia akan bertukar positif setelah mendapat maklumat yang betul.

“Kita hormati persepsi masing-masing kerana mereka mempunyai pandangan sendiri.

“Namun ramai ketua Penerangan yang mengambil inisiatif mendapatkan maklumat tepat sebelum memberikan sebarang maklum balas.

“Kita juga akui ramai ketua Penerangan mahu dialog itu dipanjangkan masanya kerana ia memberi pelbagai maklumat bermanfaat,” katanya.

Menjawab pertanyaan, Hishamuddin berkata, dalam program dialog itu juga pelbagai pertanyaan diajukan termasuk yang tiada kaitan dengan peranan Jabatan Penerangan sendiri.

“Namun, kita tidak menghalang pertanyaan-pertanyaan tersebut dan akan cuba memberi penjelasan supaya mereka faham,” katanya.

Di samping itu beliau berkata, walaupun dialog itu sudah diadakan di tiga negeri, ia bukan bermakna program tersebut sudah selesai bagi negeri-negeri tersebut.

“Dialog Penerangan ini merupakan program berterusan walaupun kelak ia sudah merangkumi semua negeri. Kita akan teruskan supaya semua ketua Penerangan mendapat maklumat yang tepat mengenai peranan serta tanggungjawab mereka.

“Lebih penting dialog ini memperkukuhkan lagi jentera BERSATU,” katanya.