KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) menyokong kepimpinan Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri demi kestabilan politik masa depan, kata Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.
 
Keputusan ini tidak janggal kerana GPS sebelum ini juga memberikan sokongan penuh kepada Tun Dr Mahathir Mohamad untuk terus menjadi Perdana Menteri.

Ini dinyatakan menjelang pertemuan antara Muhyiddin dan pemimpin GPS di Kuching, lewat petang ini.
 
“Pada masa depan kalau kita punyai kestabilan politik yang baik, ini akan jadi tarikan kepada pelaburan dan pembangunan kita.

“Sebab itu GPS sokong PM (Muhyiddin) jadi PM kerana menstabilkan negara. Kalau negara kita stabil, kita dapat hadapi cabaran lebih besar,” kata kata Abang Johari, di Kuching, hari ini.
 
Dia bercakap pada perjumpaan kakitangan awam Sarawak dengan perdana menteri. Muhyiddin tiba di Kuching, pagi tadi bagi mengadakan lawatan kerja selama dua hari.
 
“Kerjasama di antara kerajaan Sarawak dan persekutuan begitu akrab, begitu juga dengan hubungan di antara penjawat awam di negeri ini,” tambahnya.

GPS yang dipimpin Abang Johari dan dianggotai empat parti tempatan yang membentuk kerajaan negeri masih kekal sebagai sekutu Perikatan Nasional (PN) yang dipengerusikan oleh Muhyiddin bagi membantu membentuk kerajaan persekutuan.

Selain Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), parti lain dalam GPS yang ditubuhkan pada Jun 2018 itu ialah Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).
 
Muhyiddin kemudian mengucapkan terima kasih kepada ketua menteri itu yang menyatakan sokongan terhadapnya.
 
“Saya tidak jangkakannya… Sokongan khas dari ketua menteri Sarawak (kepada saya) sebagai pemimpin kerajaan (persekutuan), bukan hanya sekarang tetapi untuk masa depan juga.
 
“Moga-moga doa kita akan dimakbulkan,” kata perdana menteri.

Abang Johari sebelum ini dilaporkan berkata bahawa kerajaan negeri akan segera membuat keputusan berkaitan hubungannya dengan Putrajaya.
 
Kerajaan Perikatan Nasional kini dikatakan goyah susulan tindakan Umno yang memutuskan hubungan dengan parti Bersatu yang diterajui oleh Muhyiddin tetapi bersetuju untuk terus kekal dalam pemerintahan sehingga Ogos.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi juga telah memberi amaran bahawa parti itu mungkin menarik sokongan kepada PN pada bila-bila masa.
 
GPS bukan anggota gabungan PN, tetapi adalah sekutu kerajaan pusat.

Tidak jelas sama ada pengumuman Abang Johari hari ini bermaksud kedua-dua mereka akan bekerjasama pada pilihan raya akan datang atau sebaliknya.
 
Antara yang menjadi duri dalam daging dalam PN adalah PAS, sekutu utama Bersatu.
 
Sarawak meraikan keputusan Mahkamah Tinggi baru-baru ini yang membenarkan orang bukan Islam menggunakan kalimah Allah.
 
Bagaimnapun, PAS mendesak Putrajaya untuk membuat rayuan berhubung perkara itu, yang mendorong timbalan pengerusi GPS mengingatkan parti Islam itu untuk tidak campur tangan.
 
Namun, Putrajaya tetap membuat rayuan ke atas keputusan Mahkamah Tinggi itu.
 
-Malaysia Kini