SHAH ALAM 2 April – Perikatan Nasional (PN) Negeri Selangor menawarkan penyelesaian menyeluruh kepada masalah air kepada penduduk negeri ini jika PN Selangor menang dengan majoriti lebih dua pertiga dalam PRU-15 nanti.

Tawaran itu dibuat oleh Pengerusi Badan Pimpinan BERSATU Selangor merangkap Ahli Pimpinan Tertinggi, Datuk Abdul Rashid Asari yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Selat Klang.

Beliau berkata, setelah sekian lama dengan beberapa kali melalui PRU, isu air yang melanda penduduk Selangor masih belum selesai hingga menyukarkan kehidupan harian termasuk pengusaha industri.

Menurut Abdul Rashid, sudah tiba masanya rakyat menerima tawaran PN Selangor yang menjanjikan penyelesaian total kepada masalah air ini jika diberi mandat oleh rakyat dalam PRU-15.

“PN tidak menjanjikan wang ringgit atau kekayaan, namun yang lebih penting adalah penyelesaian kepada isu air yang membebankan rakyat termasuk pengusaha industri dan pekedai.

“PN hanya meminta rakyat memberi mandat dan dengan kemenangan lebih dua pertiga dalam PRU nanti, kami berjanji untuk menyelesaikan isu air.

“Jika PN Selangor menang lebih dua pertiga, adalah juga penting pentadbiran di peringkat persekutuan juga perlu dimenangi oleh PN bagi memudahakan penyelarasan penyelesaian isu air ini.

“Ini janji dan kesungguhan PN, berilah kami peluang dan percayalah dengan kesungguhan kami atas faktor integriti,” katanya.

Selangor setiap tahun mengalami masalah isu air terutama berkaitan terputus bekalan, air tercemar, gangguan bekalan air dan sebagainya.

Sepanjang masa rakyat Selangor merungut mengenai isu air, tambahan pula pihak berkuasa terbabit perlu membelanjakan peruntukan yang besar bagi menangani isu berkenaan.

Abdul Rashid berkata, rakyat Selangor perlu memberi peluang kepada PN menyelesaikan isu air berkenaan dan parti-parti yang memerintah Selangor sebelum ini gagal berbuat demikian.
“PN mempunyai formula untuk menyelesaikan isu air ini dan yang penting percaya serta beri peluang kepada PN untuk mentadbir negeri ini dan seterusanya kami akan dapat mencari jalan penyelesaian.

“Perlulah diingat bahawa Selangor sebuah negeri yang kaya dan melalui kekayaan itu boleh digunakan untuk menyelesaikan isu air dan langkah ini dijamin tidak menyusahkan rakyat.

“Sebahagian kekayaan Selangor boleh digunakan untuk menyelesaikan masalah air di negeri ini.

“Sehubungan itu, tumpuan PN Selangor jika menang PRU-15 ialah menyelesaikan isu air dialami oleh rakyat dan pada masa yang sama penyelesaian itu tidak akan menyusahkan rakyat,” katanya.