PUTRAJAYA: Majlis Pimpinan Tertiggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bersetuju melantik 12 wakil parti itu diketuai Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam Jawatankuasa Permesyuaratan Bersatu-Pas di peringkat Pusat bagi merangka strategi kedua-dua parti untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan datang.

Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, dalam mesyuarat MPT semalam dipengerusikan Muhyiddin turut memutuskan untuk menyegerakan pelantikan Ketua-ketua Bahagian Ahli Bersekutu dalam masa terdekat bagi memperkasakan dan meningkatkan lagi penglibatan ahli-ahli bersekutu Bersatu di seluruh negara.

Selain itu, kata beliau, MPT menegaskan bahawa parti mengiktiraf peranan serta penglibatan aktif anak muda dalam bidang politik dan aktiviti kemasyarakatan.

“Sehubungan itu, Bersatu menyeru Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menyegerakan pelaksanaan pindaan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 berhubung kelayakan mengundi pada usia 18 tahun.

“Bersatu beriltizam untuk terus fokus dan meningkatkan gerak kerja parti di setiap peringkat dalam usaha untuk membantu rakyat Malaysia yang masih terkesan akibat penularan pandemik COVID-19 dalam negara dan situasi ekonomi global yang mencabar, ” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hamzah memberitahu, Bersatu komited untuk terus memperkukuhkan kerjasama antara parti-parti anggota Perikatan Nasional
(PN) iaitu Pas, STAR, SAPP dan Gerakan.

Pada masa sama, katanya, Bersatu juga bersiap sedia untuk membantu rakan politik lain seperti Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang setia menyokong kepimpinan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri, khususnya dalam menghadapi Pilihanraya Dewan Undangan Negeri Sarawak akan datang.