KUALA LUMPUR – Hari demi hari, Perikatan Nasional  (PN) dilihat  terus berkembang dan diterima rakyat walaupun berhadapan dengan pelbagai desakan mahupun kritikan daripada parti pembangkang.

Pendekatan menyantuni rakyat dengan berhemah, mesra dan bersopan santun menjadi daya tarikan utama yang ditunjukkan PN bermula dari pemimpin peringkat atasan hinggalah ke akar umbi.

Keadaan ini menyebabkan rakyat menyenangi sikap mesra PN yang mengabungkan parti-parti komponen dengan konsep membela semua kaum tanpa mengira kedudukan.

Di bawah sedar, perkembangan PN itu sebenarnya telah ‘mengancam’ kedudukan mahupun populariti parti-parti pembangkang.

Walaupun  keadaan ini tidak dinyatakan  atau diakui pembangkang secara terbuka dan cuba disembunyikan, ia adalah satu kebenaran bahawa pembangkang kini mula merasa ‘panas’ dan tergugat.

Mana-mana parti politik pembangkang dilihat  kian terancam dengan kedudukan PN apabila setiap kaum di negara ini mula bercakap mengenai agenda membela rakyat.

Atas faktor itu juga, pembangkang dilihat cuba memanaskan kembali situasi politik dari semasa ke semasa seolah-olah mahu mengambarkan bahawa kerajaan PN tidak stabil dan sebagainya.

Namun setelah sehari demi sehari, kerajaan PN dilihat masih terus utuh dan kukuh dan menyebabkan rakyat mula muak dengan perebutan jawatan dari desakan politik pembangkang itu.

Rakyat dilihat sudah tidak lagi menghiraukan atau berminat  dengan isu-isu politik sebaliknya fokus dan teruja dengan usaha kerajaan PN menyelesaikan isu semasa.

Ketua Penerangan Gerakan, Khoo Shiaw Lee ketika diajukan pertanyaan, mengakui bahawa kedudukan PN kini menjadi ancaman kepada parti-parti pembangkang.

“Kita tahu mereka rasa terancam kerana PN fokus untuk membantu, membela serta menyelesaikan masalah rakyat.

“Pembangkang kini merasa panas dengan kemampuan PN mentadbir negara,” katanya.

Di samping itu, kedudukan PN di Sabah juga semakin naik serta dipercayai oleh rakyat negeri berkenaan dan ini diakui sendiri oleh kepemimpinan parti SAPP.

Secara langsung ia juga menunjukkan penerimaan rakyat Sabah terhadap kepemimpinan PN sama ada di peringkat pusat mahupun negeri.

Ketua Penerangan SAPP, Chin Vui Khai ketika memberi maklum balas memberitahu, rakyat Sabah mula menerima PN dan menolak parti-parti pembangkang.

Jelasnya,  nama PN di Sabah kian naik berdasarkan penerimaan serta aktiviti-aktiviti yang dijalankan melibatkan pembabitan rakyat.

“Nama PN mula naik dan rakyat menerimanya.

“Namun, kita tidak boleh cepat berpuas hati kerana masih  banyak usaha perlu dilakukan terutama di kawasan penduduknya majoriti kaum Cina.

“Kita perlu tingkatkan lagi usaha mendekati rakyat dan saya yakin kaum Cina akan terus menerima kepemimpinan PN di Sabah,” katanya.

Dalam pada itu, jika sejarah PRU-14 mencatatkan gabungan parti-parti komponen dapat menumbangkan kerajaan sebelum ini, keadaan yang sama juga tidak mustahil dapat dilakukan oleh PN dalam PRU-15.

Ketua Penerangan Pas, Kamaruzzaman Mohamad berkata: “Dengan gabungan parti-parti komponen PN pada masa ini yang fokus membela rakyat dan mewakili semua kaum, PN mahu meneruskan pencapaian cemerlang dalam PRU-15.

“PN mampu menang besar dalam PRU-15 asalkan kita fokus kepada membela rakyat serta menangani isu-su yang mereka hadapi.

“Perkara ini tidak mustahil untuk kita menang dalam PRU-15.”