TANAH MERAH 9 April –  Atas faktor kepemimpinan Presiden BERSATU yang juga Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, ramai penduduk di sekitar Tanah Merah menyertai BERSATU dan secara langsung membolehkan parti berkenaan membuka cawangan-cawangan baharu.

Apa yang menarik, sehingga kini sebanyak 70 cawangan berjaya dibuka oleh BERSATU Bahagian Tanah Merah.

Perkara ini didedahkan oleh Ketua Penerangan BERSATU Kelantan yang juga Ketua BERSATU Bahagian Tanah Merah, Bahari Mohamad Nor.

Jelasnya, faktor yakin dengan kepemimpinan Muhyiddin menyebabkan ramai penduduk menyertai BERSATU.

Di samping itu, jelasnya, penduduk juga melihat bahawa BERSATU bekerjasama dengan Pas di dalam PN dan ini menjadikan ia sebuah gagasan yang menyatupadukan rakyat.

“Penduduk juga melihat BERSATU dan PN juga fokus kepada kewujudan gagasan yang memperjuangkan Melayu dan Islam.

“Penduduk melihat ini sebagai penyatuan dan tidak berminat dengan isu-isu desakan politik merebut jawatan serta perpecahan,’’ katanya.

Dalam perkembangan terbaharu, Cawangan BERSATU Kampung Mas B ditubuhkan dengan rasmi dalam satu majlis baru-baru ini.

“Dengan pembukaan cawangan baharu itu, bahagian ini kini mempunyai 70 cawangan setakat ini,” katanya.