ROMPIN 12 April – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Bahagian Rompin menasihatkan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan supaya jangan jadi ‘penyibuk’ atau ‘busy body’.

Sebaliknya, Ahmad digesa supaya menjaga parti sendiri daripada bercakap mengenai parti orang lain dalam Perikatan Nasional (PN).

Ketua BERSATU Bahagian Rompin merangkap Ketua Penerangan Negeri Pahang, Datuk Abdul Khalib Abdullah berkata, soal  kerusi mana BERSATU akan bertanding biarlah pucuk pimpinan BERSATU yang tentukan.

Menurutnya, Ahmad tidak perlu menentukan kerusi mana BERSATU hendak bertanding tambahan pula PRU-15 belum tiba.

“Biarlah pucuk pimpinan BERSATU tentukan kerusi mana hendak ditandingi bukan Ahmad yang tentukan. Ahmad siapa dalam BERSATU?

“Kita ada jawatankuasa dan soal kerusi mana hendak ditandingi akan ditentukan oleh pucuk pimpinan parti.

“Sebelum tentukan kerusi mana hendak ditandingi, pihak pucuk pimpinan parti akan adakan mesyuarat termasuk dengan komponen –komponen parti dalam PN,” katanya.

Abdul Khalib seterusnya menasihatkan Ahmad supaya menjaga urusan parti sendiri dan jangan jadi ‘penyibuk’ untuk tentukan hala tuju parti politik orang lain.

Abdul Khalib berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ahmad yang menasihatkan Ahli-ahli arlimen UMNO yang meninggalkan parti dan menyertai BERSATU agar memilih kerusi parlimen lain untuk ditandingi dalam PRU-15 nanti.

Di samping itu, Abdul Khalib menggesa agar Ahmad tumpukan kepada soal membantu serta menyelesaikan masalah rakyat seperti pandemik Covid-19, ekonomi dan sebagainya.

“Daripada sibuk menjaja isu politik parti orang lain, lebih elok dan manis jika Ahmad tumpukan membela rakyat, memberi khidmat kepada rakyat dan jangan asyik hendak berpolitik sahaja.

“Lebih baik sama-sama kita semua membantu kerajaan yang ada sekarang dalam menyelesaikan isu rakyat dan bukannya  sibuk memperkatakan isu desakan politik seperti perebutan kerusi dalam PRU,” katanya.

Ahmad dalam kenyataannya berkata, kerusi-kerusi yang dimenangi ketika PRU-14 itu adalah milik UMNO dan ia wajar diserahkan kembali kepada parti berkenaan.

Ahmad berkata, mereka yang meninggalkan parti boleh memilih kerusi parlimen lain seperti Bukit Bintang, Seputeh dan lain-lain yang bukan milik UMNO.