PULAU PINANG 12 April – Sebanyak 150 orang berjaya didaftarkan dalam kempen pengambilan vaksin Covid-19 oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Bahagian Balik Pulau di sini.

Kempen yang pertama kali dijalankan itu juga berjaya memberi penerangan mengenai keperluan orang ramai mengambil vaksin.

Ahli Dewan Undangan Negeri Telok Bahang yang juga Ketua BERSATU Bahagian Balik Pulau, Zolkifly Md. Lazim memberitahu, pihaknya terpanggil mengadakan program tersebut setelah mendapati masih ramai yang belum mendaftar pengambilan vaksin.

Sehubungan itu, kata beliau, BERSATU bahagian telah mengambil inisiatif mengadakan kempen serta membantu orang ramai mendaftar mengambil vaksin  Covid-19.

“Dari program itu, kita berjaya mendaftarkan 150 orang. Antara faktor mengapa orang ramai masih belum mendaftar disebabkan mereka leka mengenai keperluan mengambil vaksin serta ada yang mengambil sikap melengah-lengahkannya.

“Selain daripada itu, orang ramai juga keliru kerana mendengar pelbagai pandangan hinggakan ada yang menganggap pengambilan vaksin mendatangkan  lebih banyak keburukan berbanding kebaikan.

“Dalam program ini, BERSATU bahagian turut memberikan penerangan dan kita berpuas hati kerana ramai yang kini sudah faham dan jelas mengenai kebaikan pengambilan vaksin Covid-19,” katanya.

Zolkifly menambah, kempen dan program yang serupa akan diteruskan dalam bulan Ramadan ini sehingga pihaknya berpuas hati jumlah yang mendaftar.

“Program seperti ini perlu diteruskan dan kita berharap orang ramai terus mendaftar manakala BERSATU bahagian pula sedia membantu berbuat demikian selain memberkan penerangan,” katanya.