PETALING JAYA: Tindakan Pakatan Harapan (PH) menutup ruang perbincangan mengenai agama dan bangsa selepas menawan Putrajaya menyumbang kepada kejatuhannya selepas hanya 22 bulan berkuasa, kata Ketua Penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan.

Beliau berkata keadaan itu mencetuskan keresahan orang Melayu, yang ditambah dengan kegagalan PH memperkasakan agenda Bumiputera, Melayu, dan Islam dalam keghairahan memberi keutamaan kepada perkara lain.

“Masa dalam kerajaan PH, ada usaha untuk menghentikan perbincangan ke arah agenda Bumiputera, agenda orang Melayu, agama Islam – seolah-olah nak bagi semua sama rata.

“Dalam keadaan tersebut, apabila orang Melayu beragama Islam – yang menjadi majoriti – merasa tidak selamat, merasakan kuasa politik terhakis, walaupun ada peruntukan Perlembagaan yang menjamin kuasa politik tersebut, maka hasilnya ialah kerajaan yang tidak stabil,” katanya dalam temu bual eksklusif FMT.

Kerajaan PH dibelenggui pelbagai pergolakan dan tumbang pada Feb tahun lalu, setelah PPBM bertindak keluar daripada pakatan itu, sekali gus memaksa Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan sebagai perdana menteri.

Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, kemudian memperolehi sokongan Umno dan PAS bersama beberapa parti lain untuk menubuhkan kerajaan Perikatan Nasional dengan majoriti mudah.

Wan Saiful menegaskan kestabilan negara terikat kepada kuasa politik Melayu, yang harus sentiasa dipertahankan.

“Bagi saya, apa yang kita kena pastikan ialah kestabilan itu ada. Prasyarat kepada kestabilan adalah kesatuan dahulu, dalam kalangan kuasa politik Melayu atau parti politik Melayu.

“Nak tak nak, kita perlu hadapi hal ini. Selesa atau tidak kita kena terima hakikat ini dahulu.

“Orang Melayu tidak boleh dibiarkan merasa macam terumbang-ambing atau semakin hilang kuasa politiknya,” tegas Wan Saiful.

Beliau berkata agenda Melayu-Islam tidak mendapat keutamaan dalam kerajaan PH kerana ada pemimpinnya terdiri daripada kelompok elit yang “terpisah daripada majoriti rakyat…terpisah dari realiti.”

Wan Saiful tidak menamakan mereka, namun menegaskan keperluan untuk pemimpin kerajaan mengiktiraf bahawa “di luar sana ada jurang yang amat ketara antara orang Melayu beragama Islam dan bukan Melayu”, yang harus dirapatkan.

Beliau berkata selain tidak memahami sentimen orang Melayu, PH juga silap meletakkan keutamaan kepada pembaharuan institusi sehingga “lupa terus” janjinya meringankan beban rakyat akibat kos sara hidup yang melambung.

Mengambil iktibar daripada kejatuhan kerajaan PH, Wan Saiful berkata, walapun teras PN adalah Melayu dan Islam namun perjuangan kerajaan pimpinan Muhyiddin Yassin adalah kemakmuran bersama.

“Sekarang ini dalam PN, kita belajar daripada pengalaman tersebut. Mula-mula bantu rakyat dahulu, (manakala) pembaharuan institusi diteruskan,” katanya.

“Kita nak jaga kesatuan Melayu-Islam supaya manfaatnya – kemakmuran – dikongsi secara bersama oleh semua (masyarakat berbilang kaum).”