SEMPORNA 17 April – Pemberian vaksin Covid-19 di daerah ini perlu disegera serta ditingkatkan lagi memandangkan masih ramai penduduk yang belum menerima suntikan tersebut, kata Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Bahagian Semporna, Mohd. Daud Tampokong.

Beliau ketika membuat gesaan itu berkata, langkah menyegerakan pemberian vaksin itu bagi membolehkan sektor pelancongan dapat digerakan semula dengan sepenuhnya.

Jelasnya, ekonomi Semporna banyak bergantung kepada pelancongan dan pada masa ini sektor pelancongan tidak dapat berfungsi kerana ketiadaan pelancong yang berani datang ke situ.

Beliau bagaimanapun menyedari dan memahami kesungguhan kerajaan menyegerakan pemberian vaksin itu kerana kawasan-kawasan lain juga jika boleh mahu pemberian vaksin itu dipercepatkan.

“Kita faham dan jika boleh jadikan Semporna ini salah satu kawasan yang disegerakan pemberian vaksin ini.

“Pada masa kini kira-kira lebih sikit 1,400 orang telah menerima vaksin di Semporna.

“Harapan kita sebanyak 125,000 orang yang tinggal sekitar Semporna dapat menerima vaksin ini dalam masa terdekat,” katanya.

Di samping itu, beliau berkata, BERSATU Bahagian Semporna akan meneruskan kempen membantu penduduk mendaftar untuk menerima vaksin itu memandangkan masih ramai yang tidak berbuat demikian.

“Selain membantu penduduk mendaftar, kita juga akan memberikan penerangan mengenai kebaikan serta keperluan menerima vaksin itu supaya penduduk tidak terkeliru dengan cerita-cerita negatif mengenainya,” katanya.