BINTULU 20 April – Memandu selama satu jam sebelum menaiki bot selama satu jam setengah semata-mata mahu menyampaikan bantuan kepada penduduk asnaf, namun semua itu tidak memenatkan para sukarelawan.

Itulah yang dibuktikan oleh ahli-ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Bahagian Bintulu yang diketuai Ketua Bahagiannya, Duke Janteng dalam perjalanan dari Bintulu ke Kampung Melayu Labang.

Duke bersama beberapa ahli BERSATU sanggup meredah perjalanan yang jauh untuk menyampaikan barangan makanan kepada 20 keluarga kurang berkemampuan serta memerlukan bantuan segera.

Menurut Duke, perjalanan darat bermula dari Bintulu ke Pandan yang mengambil masa satu jam sebelum menukar menaiki bot panjang selama satu jam setengah untuk sampaik ke Kampung Melayu Labang.

“Memang perjalanan itu memenatkan kami. Ramai lagi yang mahu menyertai program sukarelawan ini tetapi bot hanya dapat menampung jumlah penumpang yang sedikit sahaja.

“Namun kami merasa puas hati apabila dapat menyampaikan bantuan kepada 20 keluarga di Kampung Melayu Labang.

“Lebih melegakan apabila melihat setiap keluarga yang menerima bantuan itu dapat tersenyum riang walaupun pada mulanya mereka agak sebak melihat kedatangan kami,” katanya.

Beliau berkata, barangan keperluan yang disampaikan itu bagi membolehkan keluarga terbabit berbuka puasa selain sebagai penggunaan harian.