Tindakan pihak yang menghina Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong serta keluarga Baginda melalui platform twitter dan lain-lain media sosial semakin berleluasa. Perkembangan ini amat membimbangkan.

Bagi saya, perbuatan ini dilakukan oleh golongan berkepentingan yang mengambil peluang tidak menghiraukan adat dan adab dalam masyarakat kita. Malah, ada yang menggunakan akaun palsu kerana sengaja mahu menyerang institusi Istana.

Saya juga kesal pembangkang dengan diketuai oleh Tun Dr Mahathir Mohamad, DAP dan PKR seolah-olah mengambil peluang mahu menimbulkan perasaan marah rakyat terhadap institusi Raja Berperlembagaan. Sudah pasti ada kepentingan politik yang mereka kejar sehingga sanggup mengapi-apikan rakyat.

Tuduhan bahawa ramai rakyat yang marah kepada institusi Istana langsung tiada fakta sokongan dan hanyalah tuduhan politik kosong sahaja. Walaupun disulami dengan perkataan “Ampun Tuanku”, mesej sebenar mereka seolah-olah mahu memperlekeh YDP Agong.

Kepentingan Institusi Raja adalah jelas dan nyata termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Institusi ini adalah teras utama sistem pemerintahan negara kita. Institusi ini, terutama YDP Agong serta Raja Permaisuri Agong, perlu dilindungi dari hinaan, cemuhan dan ejekan melampau yang boleh membawa kerosakan kepada imej dan reputasinya.

Saya gesa supaya tindakan tegas diambil dengan menggabungkan semua agensi yang berkaitan untuk membanteras habis-habisan komen-komen yang tidak menghormati institusi Raja kita.

Saya juga menyeru orang ramai agar menjadi pengguna media sosial yang bijak, berhemah dan tidak menggunakan platform berkenaan sehingga boleh mendatangkan kegusaran serta mengganggu keharmonian negara.

 

ENCIK MOHD YAZID MOHD YUNUS,
AHLI MAJLIS PIMPINAN TERTINGGI BERSATU MALAYSIA