SUBANG JAYA 23 April – Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Negeri Selangor menggesa polis mengambil tindakan tegas termasuk menangkap dan mendakwa mereka yang menghina Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong.

Ketua Armada Selangor, Haszrilhafizi Mohayan berkata, tindakan tidak bertanggungjawab itu merupakan hasutan yang cuba mengkucar-kacirkan ketenteraman awam negara dan seharusnya ia perlu dibanteras habis-habisan.

Untuk itu, kata beliau, langkah mengambil tindakan tegas itu bagi memberi pengajaran kepada pihak yang menghina Agong dan Permaisuri, dan jika dibiarkan tanpa tindakan ia akan menjadi ikutan kepada pihak lain.

“Pihak berkuasa jangan berlembut atau bertolak ansur dengan mereka terbabit. Buru mereka hingga ke lubang cacing.

“Tangkap dan dakwa mereka di bawah akta yang boleh menggenakan hukuman penjara. Biar ini jadi pengajaran supaya perbuatan yang sama tidak berulang.

“Jika kita berlembut, mereka akan semakin berani,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya berhubung tindakan pihak yang mencerca, menghina dan menghasut orang ramai supaya membenci Agong dan Permaisuri melalui Facebook.

Turut hadir saudara Asyraf  Bin Halim, Timbalan Ketua Pemuda Perikatan Negeri Selangor.

Haszrilhafizi berkata, pihak berkuasa juga digesa memantau mana-mana laman sesawang yang disalahgunakan untuk menghina Agong dan Permaisuri.

“Untuk mengajar mereka ini ialah dengan cara mendakwa dan penjarakan mereka. Saya yakin kita ada undang-undang yang tegas untuk berbuat demikian,” katanya.