TANAH MERAH 23 April – Tinggal dalam sebuah pondok dengan atap bocor menjadi rutin harian seorang lelaki, Shamsuddin Mat Saat, 45, yang juga dikategorikan sebagai orang kurang upaya (OKU).

Setiap kali hujan, kerisauannya bertambah kerana terpaksa duduk di satu sudut bagi mengelakkan daripada basah kuyup.

Prihatin atas kesusahan OKU ini, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Bahagian Tanah Merah mengambil inisiatif menyantuni serta membantu Shamsuddin yang tinggal di Kampung Bendang Nyior di sini.

Selain menghulurkan barangan dapur bagi membolehkan OKU berkenaan menjalani ibadah puasa dan berbuka puasa dengan lebih sempurna, BERSATU Tanah Merah turut menyumbangkan beberapa keping zink bagi menggantikan atap yang bocor.

Ketua BERSATU Tanah Merah, Bahari Mohamad Nor bersama pasukan Prihatin BERSATU Bahagian turut bergotong-royong membantu Shamsuddin menukarkan atap rumahnya.

“Kita sumbangkan zink dan membantu OKU berkenaan menggantikan atap yang sudah bocor.

“Kehidupan harian Shamsuddin yang tinggal bersendirian, mengharapkan bantuan serta ihsan jiran dan orang ramai. Oleh itu, kita turut sumbangkan juga barangan dapur untuknya,” katanya.

Bahari menambah, pihaknya akan terus membantu OKU tersebut mengikut kemampuan dan menggesa pihak lain turut berbuat perkara yang sama.

“OKU terbabit tinggal dalam serba kekurangan dengan keadaan rumah yang tidak selesa.

“Syarikat dan orang perseorang digesa turut membantu Shamsuddin,” katanya.