Permintaan melebihi tawaran Sukuk Kelestarian berdaulat yang diterbitkan oleh Kerajaan Malaysia semalam membuktikan keyakinan tinggi pelabur asing kepada kekuatan dasar ekonomi dan kepercayaan pelabur kepada kebolehan kerajaan Perikatan Nasional memulihkan ekonomi negara.

Keyakinan pelabur, pengurus dana dan bank asing jelas dicerminkan melalui lebihan langganan sebanyak 6.4 kali, dimana permintaan kepada Sukuk ini melebihi USD6 billion. Ini adalah manifestasi keyakinan yang sangat tinggi kepada Kerajaan PN.

Pada mulanya Kerajaan bercadang untuk mengeluarkan Sukuk ini dengan nilai USD1.0 bilion sahaja, walau bagaimanapun selepas menerima permintaan yang begitu tinggi, Sukuk ini akhirnya dinaikkan kepada USD1.3 billion. Pecahan permintaan juga adalah sangat baik dimana secara purata sebanyak 50% permintaan diterima dari Asia, 33% dari Eropah, Timur Tengah dan Afrika manakala bakinya 17% dari Amerika Syarikat.

Tuduhan bahawa Kerajaan Malaysia gagal menguruskan ekonomi negara adalah pembohongan. Fakta sebenar ialah Kerajaan PN berjaya mengurus ekonomi negara meskipun telah mewarisi pelbagai masalah seperti hutang yang amat besar akibat kepincangan pemerintahan Datuk Seri Najib Razak dahulu serta pelbagai masalah berat yang disebabkan pandemik COVID-19, kleptokrasi 1MDB dan hilang arah semasa pentadbiran Pakatan Harapan.

Saya mengucapkan tahniah kepada Kerajaan PN diatas _‘global vote of confidence’_ ini, dan menyeru semua pihak, termasuk pembangkang berhenti membuat spekulasi salah, serta mengkaji betul-betul kekuatan dasar ekonomi yang dijalankan oleh Kerajaan PN sebelum membuat sebarang rumusan negatif. Pemulihan ekonomi sedang pesat berlaku dan Malaysia kini berada di landasan yang baik untuk mencatatkan pertumbuhan pada tahun ini dan tahun-tahun mendatang.

 

DATO MOHD FARID ZAWAWI,
AHLI MAJLIS PIMPINAN TERTINGGI BERSATU MALAYSIA