PULAU PINANG 26 April – Saudara baharu tidak pernah dipinggirkan, malah mereka sebahagian daripada keluarga Islam yang perlu diberi perhatian serta disantuni.

Sehubungan itu, Perikanan Nasional (PN) sentiasa memberi perhatian terutama bagi memastikan keperluan saudara baharu dapat dipenuhi.

Yang terbaharu, sebanyak 50 saudara baharu diberi bantuan dan diraikan oleh PN bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Persatuan Ikut Pulau Pinang (MyIkut) di Masjid Jamek Permatang Pasir, Balik Pulau di sini.

Ahli Dewan Undangan Negeri Telok Bahang, Zolkifly Md. Lazim merangkap Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Bahagian Balik Pulau bersama NGO telah menyampaikan sumbangan kepada saudara-saudara baharu berkenaan.
Turut hadir, wakil Pas Kawasan Balik Pulau, Mohd. Ali Osman dan majlis diserikan dengan penyerta Srikandi, Armada, AJK Bahagian dan beberapa NGO lagi.

Dalam majlis berkenaan, barangan dapur serta wang tunai turut disampaikan kepada saudara-saudara baharu berkenaan.

“PN sentiasa mengambil perhatian kebajikan saudara-saudara baru ini dan ini merupakan sebahagian daripada tanggungjawab kami.

“Hubungan PN dan saudara-saudara baharu di kawasan ini amat baik serta rapat dan beberapa program sebelum ini berjaya mengeratkan silaturahim antara masyarakat di sini,” katanya.