wan saiful

Pemimpin pusat DAP YB Senator Liew Chin Tong mengatakan bahawa DAP adalah “kerajaan menanti”. Saya anggap Senator Liew sebagai rakan secara peribadi tetapi kami ada perbezaan dari segi falsafah politik.

Kenyataan ini menggambarkan keyakinan DAP bahawa mereka akan kembali memerintah Malaysia untuk melaksanakan dasar-dasar aliran kiri yang menjadi ideologi DAP.

Yang menariknya, Liew memetik idea “big tent” atau khemah besar sebagai asas untuk DAP kembali memerintah negara kita.

Konsep khemah besar ini melambangkan bahawa DAP tidak keseorangan. Ada kawan-kawan yang mesti bersama dalam jajaran baru khemah besar DAP. Sebab DAP tidak akan jadi kerajaan jika seorang diri. DAP mesti membentuk jajaran baru dengan parti lain.

Soalan saya ialah, siapa yang akan bersekongkol dalam khemah besar jajaran baru yang menjadi strategi DAP ini?

Mungkinkah salah satu strategi khemah besar ini ialah merahsiakan komposisi dan “deal” jajaran baru sebelum PRU15 untuk mengelabui mata rakyat, tetapi selepas PRU15 barulah komposisi khemah besar dinyatakan?

Adakah memecahbelahkan undi Melayu dan membiarkan tokoh politik Melayu menyucikan imej DAP juga menjadi strategi memenangkan khemah besar DAP ini?

Adakah rakyat Malaysia mahu melihat DAP kembali menjadi Menteri Kewangan malahan mungkin jadi Timbalan Perdana Menteri?

Saya juga melihat DAP sekarang ini sudah tidak banyak rungutan seperti dulu. Tapi dalam diam, tiba-tiba sahaja DAP menzahirkan keyakinan bahawa mereka adalah kerajaan menanti.

Mungkinkah peranan merungut itu telah di “outsource” kepada kluster merungut yang bekerja keras membantu DAP merebut kuasa melalui jajaran baru khemah besar ini?

Ini adalah soalan-soalan yang kita mesti tekuni. Kerana pemimpin nasional DAP tidak akan bercakap sebegitu jika mereka tidak ada keyakinan atau tidak ada “deal” dengan sesiapa mengenai aturan sebenar jajaran baru khemah besar selepas PRU15.

 

DATUK WAN SAIFUL WAN JAN,
KETUA PENERANGAN BERSATU MALAYSIA