KUALA  LUMPUR  4 Mei – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Bahagian Lembah Pantai menyasarkan melahirkan lebih ramai usahawan sebagai langkah meningkatkan ekonomi penduduk.

Sehubungan itu, satu program khas diadakan melibatkan ceramah dan forum s berkaitan dengan usahawan di Desa Aman di sini.

Ketua BERSATU Bahagian Lembah Pantai, Ir. Zainal Ariffin Osman berkata, dalam program yang sama, pihaknya juga mengadakan sesi motivasi kepada kalangan pelajar sebagai usaha meningkatkan pengetahuan dan pendidikan mereka.

“Dalam program sehari suntuk bermula dari pagi hingga ke malam itu, kita pelbagaikan intipati program melibatkan aktiviti kanak-kanak seperti mewarna, usahawan untuk meningkatkan ekonomi penduduk, motivasi untuk golongan pelajar dan juga penyampaian barangan dapur kepada 150 keluarga untuk kategori  B40.

“Lebih 500 peserta terlibat dalam program ini dan kedatangan mereka silih berganti mengikut sesi program.

“Kita berpuas hati dengan penyertaan yang ramai. Malah maklum balas yang diterima sebaik sahaja Program Ambang Ramdan itu selesai ialah peserta termasuk kalangan ibu bapa meminta agar program sama diteruskan.

“Peserta beranggapan program sedemikian memberi manfaat besar kepada mereka. Atas permintaan ini, BERSATU Lembah Pantai sedang merancang program yang sama pada masa depan,” katanya selepas merasmikan program berkenaan.

Pada program berkenaan, beberapa agensi dan pihak berkuasa turut terlibat bagi memboleh orang ramai mendapatkan maklumat terkini termasuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), YaPEIM, PDRM, Majlis Keselamatan Negara (MKN), Rela dan SPR.

Dalam perkembangan berasingan, BERSATU Lembah Pantai dan Pas Kawasan Lembah Pantai mengadakan program kuliah subuh di Surau Al-Falah Pantai Sentral Park di sini.

“Dalam program Perikatan Nasional (PN) ini, ia disertai dua ahli panel iaitu Yang Dipertua Pas Kawasan Lembah Pantai, Azahar Yaakob dan Pengerusi Tetap Armada BERSATU Nasional, Akmal Zahin Zainal Zahir.

“Program ini menjuruskan kepada penyantuan ummah demi kepentingan Melayu Islam.

“Selepas ini, PN bercadang menjemput lain-lain parti politik seperti UMNO kerana manfaat program penyatuan ummah ini amat besar faedahnya,” katanya.