DUNGUN 7 Mei – Situasi perkembangan semasa serta penerimaan rakyat yang positif melibatkan semua kaum terhadap agenda dan corak kepemimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), menyakinkan bahawa jumlah ahli parti akan kian bertambah.

Dalam perkembangan ini, BERSATU Bahagian Dungun yang kini mempunyai lebih 5,000 ahli dengan 33 cawangan, berkeyakinan serta menyasarkan pertambahan jumlah keahlian lebih 10,000 sehingga hujung tahun ini.

Sasaran itu tidak mustahil kerana BERSATU Bahagian Dungun sehari demi sehari diajukan pelbagai pertanyaan dari penduduk yang berminat menyertai BERSATU.

“Langkah BERSATU bahagian yang diketuai Dato’ Abdul Aziz Ismail menyatuni penduduk selain kerap mengadakan program menyelesaikan pelbagai masalah rakyat berjaya mendekatkan penduduk dengan BERSATU bahagian.

“Bahagian ini turut menyantuni penduduk termasuk golongan B40, selain anak-anak yatim serta golongan lain yang memerlukan bantuan,” kata Setiausaha Kerja BERSATU Bahagian Dungun, Syahir Ammar Sazely.

Beliau berkata demikian pada majlis berbuka puasa bersama anak-anak yatim bagi DUN Sura dan Rantau Abang.

Pada majlis itu Abdul Aziz menyampaikan sumbangan duit raya dan barangan keperluan asas kepada 50 anak-anak yatim.

Syahir berkata, usaha-usaha kini giat dijalankan bagi memberi penerangan kepada penduduk mengenai agenda BERSATU iaitu membela dan menyelesaikan masalah rakyat tanpa mengira kaum.

Tambah beliau, pihaknya juga menjelaskan kepada penduduk mengenai fokus BERSATU iaitu integriti bagi menjadikan negara ini dapat terus bergerak ke hadapan.

“Agenda membela dan menyelesaikan masalah rakyat, integriti dan banyak lagi, semua ini dapat menarik minat penduduk untuk menyertai BERSATU bahagian,” katanya.