KOTA TINGGI 9 Mei – Wanita Perikatan Nasional (PN) Tenggara dalam Bahagian Parlimen Kota Tinggi hari ini menyantuni para peniaga sambil menyampaikan sumbangan barangan keperluan di Bazar Ramadan Taman Sri Saujana di sini.

Program Sentuhan Kasih Prihatin Tenggara itu diketuai oleh Ketua Wanita PN Tenggara merangkap Exco Srikandi Malaysia, Jawahir Husein.

Sebanyak 50 peniaga di bazaar Ramadan itu disantuni dan Wanita PN turut menyampaikan buah kurma hasil sumbangan Perdana Menteri merangkap Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurut Jawahir, pihaknya juga menyampaikan penutup hidung dan mulut sampai langkah mengawal penularan Covid-19 kepada para peniaga di situ selain pengunjung.

“Dalam program ini, Wanita PN Tenggara turut menyampaikan kuih raya kepada para peniaga.

“Sambutan yang kami terima dari program ini amat positif. Tambahan, kami juga memberi khidmat nasihat kepada peniaga dan pengunjung mengenai pentingnya SOP dalam menghindarkan penularan Covid-19,” katanya.

Beliau seterusnya berharap peniaga dan pengunjung bazar Ramadan terus mengamalkan SOP yang ketat bagi menghindarkan penularan pandemik berkenaan.

“Sambutan raya semakin hampir dan sehubungan itu jangan kita leka atau lalai mengenai penularan pandemik Covid-19.

“Pastikan kita sentiasa memakai penutup hidung dan mulut. Insya Allah kita semua dapat menyambut Aidilfitri dengan selamat,” katanya.