Saya tertarik dengan pandangan Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa PRU-15 mungkin tak selesaikan masalah sebab banyak parti-parti kecil yang akan bertanding.

Maksudnya Tun M sendiri faham bahawa kewujudan parti kecil seperti Pejuang hanya menambah perpecahan sahaja dan bukan penyelesaian kepada apa apa masalah pun.

Jadi ada baiknya kawan-kawan dalam Pejuang fikir semula adakah mereka nak jadi penyebab kepada perpecahan seperti yang Tun M katakan itu.

Tun M juga kata bahawa ada orang tawar dia untuk masuk BERSATU. Secara prinsipnya saya boleh katakan bahawa BERSATU sentiasa terbuka untuk sesiapa sahaja yang menyokong dasar dan agenda prihatin rakyat yang sedang kita bawa.

Tapi saya perlu tegaskan bahawa adalah tidak logik jika ada tuduhan bahawa ada sesiapa yang menawarkan apa-apa imbuhan kepada Tun M dalam hal ini. 

Tun M juga mendakwa ada orang minta ‘tawaran’ imbuhan untuk keluar BERSATU. Saya tak pernah dengar isu ini dalam BERSATU jadi saya rasa cerita-cerita begini sengaja dibuat untuk menarik perhatian kepada sebuah parti serpihan yang tidak berjaya menarik perhatian sesiapa setakat ini.

Pandangan saya, kalau Pejuang benar-benar nak berjuang, maka berjuanglah dengan agenda yang unik. Tak payahlah asyik bercerita mengenai rumah lama sehingga nampak seolah-olah belum dapat ‘move on’ lagi.

Apa kata kita sama-sama tumpukan tenaga untuk bantu Tan Sri Muhyiddin Yassin jaga rakyat.

DATUK WAN SAIFUL WAN JAN
Ketua Penerangan BERSATU Malaysia