BINTULU 11 Mei – Penguatkuasaan PKP seluruh negara bukan bermakna sambutan Hari Raya Aidilfitri tidak membawa sebarang erti bagi penduduk Kampung Melayu Pandan Sebauh dekat sini.

Sebaliknya, kalangan penduduk begitu teruja untuk menyambut ketibaan Syawal kerana baharu sahaja beroleh sumbangan kuih raya daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Bahagian Bintulu.

Malah, penduduk turut menjanjikan bahawa mereka akan tetap mematuhi SOP sepanjang sambutan Syawal dan penguatkuasaan PKP ini.

Ketua BERSATU Bahagian Bintulu, Duke Janteng memberitahu, pihaknya telah menyampaikan sumbangan kuih raya kepada 95 keluarga yang memerlukan bantuan di kampung berkenaan.

Jelasnya, penduduk begitu teruja menerima kuih raya tersebut atas semangat perpaduan untuk menyambut Syawal.

“Penduduk menjanjikan mereka akan mematuhi SOP yang ketat sepanjang Aidilfitri dan pelaksanaan PKP ini kerana sedar bahawa usaha memerangi pandemik Covid masih belum berakhir.

“Semasa penyampaian kuih raya itu, kita turut memberi nasihat serta ingatan kepada masyarakat sekitar mengenai pentingnya mematuhi PKP seperti yang ditetapkan oleh kerajaan.
“Penduduk memang faham mengenai perkara ini. Selain kuih raya, kita turut menyampaikan buah kurma,” katanya.

Di samping itu, Duke berkata, kehadiran rombongan BERSATU Bahagian Bintulu disambut dengan riang oleh penduduk untuk penyampaian kuih raya berkenaan.

“Kami bergerak menggunakan jalan darat selama 40 minit dan dikuti menaiki bot selama 15 minit sebelum sampai ke Kampung Melayu Pandan, Sebauh dalam DUN Kemena.

“Rasa penat kami hilang apabila melihat keriangan penduduk menyambut kedatangan kami,” katanya.