BERSATU Selangor menyatakan rasa kecewa dan terkilan dengan hantaran Facebook Exco Selangor, Teng Chang Khim yang melabelkan Perdana Menteri Malaysia sebagai ‘bodoh’ apabila Perdana Menteri dalam perutusan khasnya memaklumkan pendirian Malaysia yang mengutuk serangan Israel Zionis ke atas umat Islam yang solat terawih di Masjid Al Aqsa.

Chang Khim sepatutnya mengalu-alukan pendirian kerajaan tanpa berbelah bahagi. Kenyataannya itu boleh diaspirasikan sebagai pendirian kerajaan Selangor yang diketuai oleh Sultan Sharafuddin Idris Shah Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Kenyataan Teng Chang Khim ini juga boleh dianggap sebagai menghina Yang di-Pertuan Agong yang turut membuat kenyataan mengutuk sekeras-kerasnya serangan tentera Israel ke atas rakyat Palestin yang bertali arus.

Dalam isu konflik Israel-Palestin ini, sebagai sebuah negara berdaulat apa lagi negara yang sentiasa mengambil berat isu-isu sejagat dan kemanusian, Malaysia menyatakan pendirian rasminya agar Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu perlu bertindak segera dan pihak yang bertelagah perlu menghentikan sebarang serangan ke atas orang awam terutama rakyat Palestin di Semenanjung Gaza.

Untuk pengetahuan Chang Khim, sejak Isnin minggu lepas, hampir 200 rakyat Palestin terbunuh dari serangan roket Israel di mana 92 peratus darinya adalah orang awam, 54 dari mereka adalah kanak-kanak dan banyak lagi.

Berbanding di pihak Israel, hanya 10 orang sahaja terbunuh di mana hanya tiga sahaja kasualti dalam kalangan orang awam. 

 

Ini jelas menunjukkan bahawa Israel bukanlah ‘mempertahankan diri’ seperti mana yang dinaratifkan oleh pemimpin mereka, Benyamin Netanyahu kepada dunia dan PBB.

Tindakan Chang Khim yang mem’bodoh’kan dan menghina tindakan pemimpin negara sangat tidak boleh diterima dan ia mencerminkan pendirian Chang Khim akan nasib rakyat Palestin terutamanya di Gaza dan juga menjadi pendirian DAP.

Maka, dari kenyataan ini, jelaslah menunjukkan bahawa selama ini DAP hanya memakai topeng demi mendapatkan undi dari orang Islam di Malaysia bagi mendapat sebuah kuasa tetapi pada hakikatnya, tidak sekelumit pun di hati mereka mempunyai sifat kemanusian dan kasih sayang ke atas umat Islam.

MAJLIS PIMPINAN BERSATU NEGERI SELANGOR