Tidak dinafikan bahawa kezaliman yang berlaku ke atas umat Islam di Palestin menyentuh emosi kita, begitu pun cadangan dan tindakan yang buat hendaklah sentiasa bersifat rasional bukan emosional dengan memahami realiti geopolitik semasa.

Kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin malangnya segera dikecam oleh pemimpin pembangkang, seperti Presiden Parti Amanah Negara, Mohamad Sabu, yang menyamakannya dengan tindakan mengiktiraf kewujudan negara haram Israel.

Beliau berkata, sepatutnya kita berusaha menyokong hak rakyat Palestin untuk kembali ke tanah air mereka termasuk di bumi yang dipanggil Israel pada hari ini untuk menubuhkan kerajaan yang mereka mahu dan tidak ada nama kerajaan Israel di sana.

Kenyataan sebegini menampakkan betapa penuturnya tidak memahami realiti geopolitik semasa di Timur Tengah malah geopolitik di peringkat antarabangsa, malah meletakkan beliau menyimpang dari konsensus pertubuhan-pertubuhan sedunia.

Serangan zalim rejim Israel ke atas umat Islam di Palestin pada akhir Ramadhan lalu telah sekali lagi mengocak keamanan dunia dan mendapat perhatian masyarakat antarabangsa yang rata-ratanya tersentuh emosi mereka dengan kezaliman yang berlaku.

Pemimpin kerajaan Malaysia termasuk Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, dan Muhyiddin yang masing-masing mengeluarkan kenyataan keras mengutuknya pada 8 dan 11 Mei.

Muhyiddin antara lain menyeru masyarakat antarabangsa, terutama Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), supaya bertindak tegas dan mendesak Israel untuk menghentikan segera kezaliman terbaharu terhadap rakyat Palestin.

Untuk makluman semua, penyelesaian dua negara berdasarkan garis sempadan pra-1967 ini telah diterima oleh 56 buah negara anggota Pertubuhan Negara-Negara Islam (OIC).

Ia juga telah turut dipersetujui oleh 120 buah negara anggota Pertubuhan Negara-Negara Berkecuali (NAM).

Penyelesaian dua negara ini malah telah dipersetujui oleh Majlis Keselamatan PBB melalui Resolusi 1397 yang diluluskan pada 12 Mac 2002.

Menyusuli kelulusan Resolusi 1397 ini adalah pengisytiharan Inisiatif Keamanan Arab melalui Sidang Kemuncak Beirut oleh Liga Arab pada 28 Mac 2002 yang menawarkan keamanan kepada Israel sebagai timbal balas kepada penerimaannya terhadap kewujudan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kota Palestin.

Sejak PN mengambilalih tampuk pemerintahan negara pada 1 Mac 2020, inilah pendirian rasmi kerajaan.

 

 DR. KAMARUL ZAMAN YUSOF

Pensyarah Kanan Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa (COLGIS), Universiti Utara Malaysia (UUM)