KUALA LUMPUR 19 Mei – Kerajaan digesa terus lebih tegas agar tidak mengiktiraf Israel sebagai sebuah negara dan pada masa sama perlu menetapkan polisi rasmi bahawa Hamas bukan sebuah pertubuhan pengganas.

Presiden Ikatan Muslim Malaysia (ISMA), Aminuddin Yahaya berkata, untuk itu satu sidang Parlimen tergempar perlu diadakan segera untuk membuat pendirian tegas terhadap masalah Palestin dan serangan Israel sebaik sahaja masalah Covid-19 kembali reda.

Beliau berkata, selain mendesak dan mengusahakan pasukan pengaman dihantar ke kawasan Palestin seperti yang berlaku semasa perang Bosnia, kerajaan Malaysia juga harus memikirkan bantuan dari segi peralatan.

“Kerajaan perlu tegas untuk tidak mengiktiraf Israel. Isu ‘two state solution’ sejak zaman Barisan Nasional sudah tidak sesuai lagi.

“Di samping itu, perlu ada kerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) secara berdepan dan kerjasama ini hendaklah berterusan atau berkala dan bukan hanya bermusim apabila isu Palestin berbangkit.

“Malah, galakan bantuan kepada rakyat Palesin juga perlu berterusan sama ada secara rasmi atau tidak rasmi,” katanya.

Dalam pada itu, bantuan dalam bentuk perubatan serta kepakaran juga perlu kepada rakyat Palestin.

“Mungkin juga kerajaan Malaysia boleh menawarkan rakyat Palestin untuk tinggal di Malaysia agar mereka mendapat pendidikan serta kemahiran tertentu.

“Tawaran tinggal di negara ini lebih kepada memberi perlindungan sebelum rakyat Palestin dapat membentuk negara sendiri dengan pentadbiran sendiri,’ katanya.