KUALA LUMPUR 19 Mei – Usaha kerajaan Malaysia yang terus membantu dan mempertahankan rakyat Palestin termasuk mengutuk sekeras-kerasnya serangan bertali arus zionis Israel harus disokong sepenuhnya.

Malah, kuasa-kuasa besar dunia juga harus bertindak mendesak Isarel menghentikan segera tindakannya yang mengorbankan ramai orang awam Palestin.

Presiden Pertubuhan Intelektual Negara (PINTAR) merangkap Setiausaha Agung Persatuan Ulama Malaysia (PUM), Prof. Dr. Mohd. Roslan Mohd. Nor berkata, rakyat Palestin harus terus dibantu dari menjadi kekejaman zionis Israel yang terus menyerang mereka.

“Kita tidak boleh mempersalahkan rakyat Palestin yang mempertahankan hak serta bumi mereka.

“Ini berlaku apabila penduduk di sebuah perkampungan Palestin di Baitulmuqaddis dihalau dari tanah dan rumah mereka dan ia diambilalih oleh zionis Israel.

“Zionis Israel juga mengambil kesempatan menghalang rakyat Palestin mengerjakan ibadah dalam bulan Ramadan di Masjid Al-Aqsa dengan menyerang jemaah.

“Sehubungan itu, adalah wajar rakyat Palestin bangkit bmempertahankan diri dan hak mereka dari terus dianiaya oleh rejim Israel.

“Jelas terbukti tindakan rejim Israel ini tidak berperikemanusiaan,” katanya.

Di samping itu, beliau berkata, usaha dan inisiatif yang dilakukan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam mempertahankan rakyat Palestin harus disokong sepenuhnya oleh rakyat Malaysia.

“Kita minta semua rakyat Malaysia menyokong inisiatif kerajaan Malaysia untuk terus membantu Palestin,” katanya.