TANAH MERAH 24 Mei – Tindakan tidak bertanggungjawab segelintir pihak yang menaikkan kain rentang tertera ‘kerajaan gagal’ di negeri ini dilihat sebagai perbuatan ‘ikut-ikutan’ dan ‘suruhan’ tanpa melihat siapa sebenarnya yang mentadbir negara ini dan juga negeri Kelantan.

Pihak terbabit tidak sedar bahawa negara ini ditadbir oleh Perikatan Nasional (PN) yang terdiri daripada Pas, BERSATU, UMNO dan beberapa parti lagi dari Sabah dan Sarawak.

Manakala pentadbiran negeri Kelantan pula diketuai oleh Pas.

Apabila tindakan ‘ikut-ikutan’ dan ‘suruhan’ itu dilakukan, mereka menyalahkan PN walaupun dipercayai tujuan sebenar adalah untuk menempelak parti tertentu kemungkinan BERSATU dan Pas.

Dengan kata lain, mereka secara terang menyalahkan UMNO, Pas, BERSATU dan beberapa parti lagi yang bergabung di bawah PN.

“Mereka tidak sedar. Mereka ingat perbuatan itu untuk menempelak dan memperlekehkan BERSATU dan Pas. Yang pasti, BERSATU dan Pas sentiasa bekerjasama dan hubungan dua parti ini adalah erat di Kelantan dan pusat.

“Mereka tidak faham bahawa pentadbiran pusat dipimpin oleh PN manakala di negeri Kelantan diketuai oleh Pas.

“Apabila tidak faham corak pentadbiran negara dan negeri, inilah yang terjadi iaitu sekadar ikut-ikutan dan suruhan,” kata Ketua BERSATU Bahagian Tanah Merah, Bahari Mohamad Nor.

Beliau mengulas kejadian di mana kain rentang tertera ‘kerajaan gagal’ dinaikkan di beberapa kawasan di negeri ini.

Menurutnya, cara pembangkang yang cuba mewujudkan kebencian rakyat ini sangat jijik dan tidak bertanggungjawab.

“Kita patut sedar bahawa kerajaan sekarang sedang bertungkus-lumus melawan Covid. Sepatutnya semua pihak berganding bahu bersama-sama kerajaan untuk melawan Covid ini,” katanya.

Bahari berkata, sebagai anak tempatan, beliau mengetahui bahawa perbuatan sedemikian lebih kepada satu suruhan.

“Di negeri ini rakyat sepenuhnya menyokong kerjasama Pas dan BERSATU. Yang naikkan kain rentang itu lebih kepada suruhan untuk menunjukkan seolah-olah rakyat tidak puas hati dengan kerajaan pusat dan negeri.

“Secara logik, perbuatan yang sama ada berlaku di negeri lain dengan kain rentang sama. Tiba-tiba ia berlaku di negeri ini, bermakna ada pihak yang suruh,” katanya.

Menjawab pertanyaan, beliau berkata, majoriti rakyat di negeri ini tidak menghiraukan tindakan tidak bertanggungjawab itu.

Malah jelasnya, ramai rakyat yang tidak mudah terpengaruh dengan desakan politik tersebut kerana bagi rakyat pada masa ini ialah terus menjalani kehidupan dengan selamat ekoran penukaran pandemik Covid-19.