PETALING JAYA – Akhir-akhir ini ada sahaja kisah mengenai ahli politik atau individu tertentu yang dikategorikan sebagai VIP atau memiliki gelaran, dikaitkan dengan kes-kes mahkamah.

Ketua Penerangan Armada BERSATU Negeri Selangor, Mukriz Azhari berkata, keadaan tersebut telah menimbulkan pelbagai pertanyaan, persepsi serta rasa gusar rakyat yang secara langsung mempersoalkan integriti individu terbabit.

Malah, beliau berkata, ada individu bergelar Datuk atau Datuk Seri atau sebagainya, dan telah didapati bersalah oleh mahkamah namun masih meneruskan untuk memakai gelaran kebesaran itu.

Namun, katanya, bukanlah menjadi satu kesalahan untuk terus memakai gelaran yang diberi walaupun hukuman telah dijatuhkan.

Bagaimanapun, jelas beliau, perkara ini secara langsung memberi tempias yang kurang ‘senang’ kepada individu lain yang juga memiliki gelaran tetapi tidak terbabit dengan kes-kes mahkamah.

“Sehubungan itu, adalah lebih baik, berhemah serta ‘gentleman’ jika mana-mana individu yang didapati bersalah oleh mahkamah atau yang sedang dibicarakan, eloklah secara sukarela menyerahkan darjah kebesaran yang dikurniakan itu,” katanya melontarkan cadangan tersebut. 

Menurut beliau, pihak yang terbabit dengan undang-undang dan kes mahkamah tidak perlulah tunggu sehingga darjah kebesaran itu ditarik oleh pihak istana.

“Kalau serah secara sukarela sementara menunggu namanya dapat dibersihkan semula, saya rasa itu lebih baik, gentleman dan manis.

“Tetapi jika darjah kebesaran itu ditarik balik, keadaan ini secara langsung mengores individu berkenaan serta para pengikutnya,” katanya tanpa menjelaskan lebih lanjut individu yan dimaksudkan beliau.

Tambah beliau, menyerahkan semula darjah kebesaran yang dikurniakan itu lebih bersifat sementara dan kemungkinan besar akan dikembalikan apabila individu berkenaan dapat membersihkan namanya melalui undang-undang.

Difahamkan, Istana Pahang baru-baru ini telah menarik balik dan membatalkan gelaran Datuk Seri dan Datuk yang sebelum ini dianugerahkan kepada ahli perniagaan Liow Soon Hee atau Nicky Liow.

Langkah itu bagi menjaga imej serta integriti pihak Istana.

Tambahan pula Nicky kini menjadi buruan pihak polis dan dipercayai terlibat dengan jenayah terancang.

Beliau berkata, mana-mana individu yang terlibat dengan kes-kes seperti rasuah, penyelewengan dan sebagainya, juga patut dikenakan tindakan yang sama.

“Jangan jadikan gelaran kebesaran itu sebagai ‘pelindung diri’ atau ‘perisai’ dari hukuman yang telah dikenakan.

“Sebelum ini pun, ada pemimpin negara yang secara terhormat menyerahkan gelaran kebesaran apabila dia didakwa dan seterusnya dihukum penjara.

“Orang yang menyerahkan semula gelaran kebesarannya tanpa ditarik secara paksa, bukan sahaja gentleman, malah ada sifat bertanggungjawab dan rasa malu dalam diri,” katanya.