Saya amat bersimpati dan saya ucapkan takziah kepada semua mangsa kemalangan LRT yang berlaku tadi. Saya doakan agar usaha menyelamat berjalan lancar dan semoga Allah mempermudahkan urusan semua mangsa yang cedera.

Arahan serta merta yang dikeluarkan oleh YAB Perdana Menteri supaya Kementerian Pengangkutan dan Prasarana Malaysia Berhad melakukan siasatan penuh untuk mengenalpasti punca kemalangan ini mesti dipandang serius oleh semua pihak. 

Pengumuman segera oleh YB Menteri Pengangkutan bahawa satu jawatankuasa siasatan akan ditubuhkan adalah langkah yang tepat.

Tanggungjawab memastikan keselamatan penumpang adalah satu tanggungjawab yang amat penting. Sudah pasti segala langkah yang perlu akan dilaksanakan untuk memastikan punca kemalangan dikenal pasti.

Yang paling penting, perlu ada jaminan bahawa kemalangan sebegini tidak berulang. Sementara siasatan dibuat, saya harap kita tidak menimbulkan sebarang spekulasi. Tumpuan kita mestilah untuk memastikan semua mangsa diberi rawatan sebaiknya.

Datuk Wan Saiful Wan Jan
Ketua Penerangan Bersatu Malaysia