PETALING JAYA – Pengerusi Prasarana, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman ditamatkan perkhidmatannya serta-merta hanya selang sehari selepas insiden pertembungan dua tren LRT yang mengakibatkan beberapa penumpang cedera.

Selain ditamatkan perkhidmatan, Tajuddin juga kini disiasat oleh polis yang membuka kertas siasatan atas maklumat bahawa beliau tidak mematuhi SOP ketika melawat tempat kejadian dalam insiden kemalangan berkenaan.

Penamatan perkhidmatan Tajuddin itu tular melalui sepucuk surat yang ditandatangani oleh Menteri Kewangan dan ia disahkan sendiri oleh jurucakap kementerian berkenaan.

Dalam pada itu, siasatan ke atas Tajuddin yang tidak mematuhi SOP dengan tidak memakai pelitup hidung dan mulut ketika mengadakan sidang akhbar berhubung kemalangan LRT itu, disahkan sendiri oleh Ketua Polis Daerah Dang Wangi.

Sebelum ini, heboh diperkatakan, pelantikan Tajuddin sebagai Pengerusi Prasarana pada tahun lalu telah menimbulkan ketegangan dengan CEO ketika itu, Muhammad Nizam Alias.

Malah, pada 8 Disember tahun lalu, laman berita The Vibes memetik sumber sebagai berkata, penggantungan Nizam susulan ketegangan di peringkat kepemimpinan selepas pelantikan Tajuddin.

Perkembangan tersebut diikuti pula apabila awal tahun ini, Prasarana Malaysia Berhad mengesahkan Muhammad Nizam bukan lagi CEO kumpulan itu.

Syarikat gergasi pengangkutan awam itu dalam kenyataan mengesahkan semula kenyataan Tajuddin yang mengesahkan Norlia Noah mengambil alih jawatan CEO pada 23 Februari tahun ini.

“Prasarana mengesahkan lembaga pengarah Prasarana Malaysia Berhad mengadakan mesyuarat pada 22 Februari dan membuat keputusan menamatkan perkhidmatan Muhammad Nizam,” menurut kenyataan Prasarana.

Dalam insiden LRT yang berlaku malam Isnin itu, ramai pihak menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap Tajuddin termasuk meminta agar perkhidmatannya sebagai pengerusi ditamatkan.

Namun setakat ini, tidak diketahui punca sebenar penamatan perkhidmatan Tajuddin itu.