Beberapa hari lepas, saya ambil maklum mengenai naratif dari beberapa pihak yang tular tentang kadar hutang negara. Saya amat mengalu-alukan dan menghargai komen dan maklumbalas mengenai isu yang berkait dengan portfolio Kementerian Kewangan. Namun, saya juga harus berlaku adil dan telus apabila rakyat disajikan dengan maklumat yang tidak tepat. 

Melalui video ini, saya ingin menjawab pelbagai dakwaan tidak berasas bahawa negara telah meminjam RM115.53 bilion sehingga Mei 2021 untuk belanja sesuka hati; mengenai operasi pinjaman dan perbelanjaan Kerajaan yang dikatakan tidak telus hanya kerana tempoh darurat; mengenai bagaimana ‘pinjaman’ ini adalah dana tambahan; mengenai bantuan Kerajaan yang sewajarnya dikatakan tiada semasa PKP 2.0 dan 3.0.

 

Secara ringkas, ini faktanya:

💰Kesemua pinjaman Kerajaan adalah berdasarkan perbelanjaan yang diluluskan di Parlimen sewaktu pembentangan Belanjawan 2021.

💰Kerajaan TIDAK PERNAH menggunakan Ordinan Darurat untuk meningkatkan atau menambah perbelanjaan melebihi had siling yang telah diluluskan oleh Parlimen pada Ogos 2020.

💰Pinjaman Kerajaan setakat April 2021 berjumlah RM81.8 bilion dan setakat bulan Mei adalah sekitar RM99.3 bilion, bukan RM115.53 bilion seperti didakwa sesetengah pihak.

💰Dalam senarai pinjaman kerajaan yang dibentangkan oleh DS Najib, terdapat pinjaman yang dibuat oleh Petronas dan Khazanah. Mereka meminjam untuk keperluan modal dan aliran tunai masing-masing. Itu hutang mereka, bukan hutang Kerajaan Persekutuan.

💰Kerajaan hari ini tidak tidak membuat pinjaman di luar Belanjawan tahunan (off-balance sheet), tidak seperti Kerajaan terdahulu. 

💸Antara 2008 hingga 2017 hutang Kerajaan Persekutuan meningkat lebih 120%, manakala jumlah jaminan Kerajaan meningkat lebih 240% 

💸 Kita juga ada hutang legasi 1MDB, SRC, SSER berjumlah lebih RM40 bilion. Setakat ini, RM15.5 bilion hutang 1MDB dan SRC sudah dibayar oleh Kerajaan, tetapi masih ada baki hutang (merangkumi prinsipal dan faedah) berjumlah lebih RM42.3 bilion. Bayangkan, jika jumlah hampir RM58 bilion ini dapat digunakan, berapa ramai rakyat yang kita dapat dibantu semasa pandemik ini? Bukan nak mengungkit, tetapi isu ini amat relevan dengan isu hutang negara dan kemampuan fiskal Kerajaan untuk membantu rakyat.

Saya harap anda di luar sana dapat meluangkan sedikit masa untuk menonton video ini dan mendengar penjelasan saya. Kami sentiasa bersedia untuk menjawab isu yang membelenggu rakyat yang berlandaskan fakta sahih dan tidak mempunyai agenda lain. Walau apapun, fokus Kerajaan sekarang adalah untuk kita sama-sama memerangi pandemik Covid-19 yang menjejaskan kesihatan dan ekonomi rakyat.