BANDAR RAYA MELAKA 29 Mei – Terserempak dengan seorang kanak-kanak berusia 7 tahun yang rabun matanya disebabkan tidak mampu membeli cermin mata akibat kemiskinan hidup hinggakan sukar untuk membaca dan belajar menyebabkan jiwa Datuk Murphy Chan tersentuh.

Ketika kejadian empat tahun lalu itu, terfikir di benak fikiran Murphy kenapa kanak-kanak tersebut yang di temui di Tanjung itu, tidak dibantu? Apa akan jadi pada masa depan kanak-kanak itu? Bolehkan dia nanti dapat membaca al-Quran.

 

(Dari kiri) Datuk Hishamuddin bersama Datuk Murphy Chan, Ketua Pegawai Eksekutif Eyecon Group Sdn. Bhd

 

Pelbagai persoalan timbul dalam fikiran Murphy yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Eyecon Group Sdn. Bhd., sebuah kumpulan syarikat yang pakar dalam menyediakan cermin mata.

“Saya sedih melihat nasib kanak-kanak itu disebabkan ketidakmampuan keluarganya menyediakan cermin mata bagi membolehkan dia dapat belajar dan membaca. Tentu dia sukar untuk ke sekolah.

“Bermula dari situ, saya mengambil keputusan untuk membantu seramai yang mungkin dengan menggunakan sebahagian besar keuntungan syarikat yang diperolehi.

“Keuntungan yang diperolehi boleh digunakan untuk menyediakan cermin mata kepada golongan yang memerlukan. Tidak rugi kalau keuntungan itu kita kongsi bersama dengan menggunakan untuk masyarakat,” katanya memulakan perbualan.

Menurut Murphy, sejak dari situ beliau melihat perkembangan kanak-kanak itu yang semakin baik dengan dapat membaca dan ke sekolah.

“Saya rasa puas hati apabila dapat membantu dan menyalurkan sebahagian keuntungan syarikat kepada mereka yang memerlukan,” katanya yang cuba menahan sebak.

Bertitik mula dari situ, Eyecon Group mula mengadakan kerjasama dengan MAIM Industries Sdn. Bhd. sebuah anak syarikat milik kerajaan Negeri Melaka dengan Datuk Hishamuddin Abdul Karim sebagai pengerusinya.

Kerjasama antara dua entiti itu juga mendapat kerjasama Perikatan Nasional (PN) Parlimen Kota Melaka.

Kerjasama itu bagi membolehkan seramai mungkin golongan yang memerlukan bantuan bagi mendapatkan cermin mata percuma.

Selain kanak-kanak, Eyecon Group dan MAIM Industries Sdn. Bhd. juga telah menghulurkan bantuan kepada ibu tunggal, warga emas, golongan asnaf dan banyak lagi.

“Kerjasama dengan MAIM Industries ini berjaya mengenal pasti serta membantu mereka yang benar-benar memerlukan bantuan cermin mata dan Eyecon Group sangat berpuas hati.

“Sejak empat tahun lalu, setiap bulan ada sahaja golongan yang kita bawa ke kedai Eyecon untuk membuat cermin mata.

“Malah, sejak PKP pun kita terus membantu dengan mematuhi SOP yang ketat,” katanya.

Sementara itu, Hishamuddin yang juga Ketua Penerangan BERSATU Negeri Melaka merangkap Ketua BERSATU Bahagian Kota Melaka berkata, MAIM Industries Sdn. Bhd. turut menyediakan bantuan dari kerjasama tersebut.

“Kita akan mengenal pasti mereka yang benar-benar layak untuk diberikan cermin mata percuma.

“Pemberian cermin mata ini amat penting kerana ia membolehkan masyarakat meneruskan kehidupan lebihbaik terutama dengan dapat membaca, menulis dan belajar.

“Kerjasama ini diteruskan, malah MAIM Industries Sdn. Bhd. juga sentiasa mengumpul data terbaharu bagi mengenal pasti golongan yang memerlukan cermin mata percuma,” katanya.