PETALING JAYA 29 Mei – Rakyat di negara ini diminta memahami pelaksanaan ‘total lockdown’ yang bertujuan menyelamatkan negara dan nyawa rakyat.

Timbalan Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Oh Tong Keong berkata, bukan satu keputusan yang mudah atau senang untuk kerajaan membuat keputusan melaksanakan ‘total lockdown’ ini ketika ekonomi negara kita terjejas, dan pada masa sama kehidupan serta keselamatan rakyat tergugat akibat penularan Covid-19.

Namun, kata beliau, ia merupakan keputusan yang tepat memandangkan situasi terkini penularan Covid-19 di negara ini.

“Situasi Covid-19 kini bertambah serius dengan jumlah kes harian telah mencecah lebih 8,000 kes. 

“Ini juga menunjukkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dengar kepada suara hati rakyat yang mengharapkan ‘total lockdown’ dilaksanakan bagi menjamin keselamatan rakyat jelata,” katanya. 

Dalam pada itu, beliau berkata, usaha untuk melandaikan lekuk Covid-19 merupakan tanggungjawab setiap lapisan masyarakat.

“Seperti yang dikatakan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin…’terima hakikat, ini masalah bersama, approach kita bukan whole of government, it is whole of society,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa semua rakyat Malaysia harus memberi kerjasama yang penuh kepada pihak kerajaan dalam tempoh ‘total lockdown’ ini.

“Kerjasama penuh dengan mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan SOP, duduk di rumah jika tidak ada urusan penting di luar. 

“Sama-sama kita memutuskan rantaian penularan Covid-19,” katanya.