KUALA LUMPUR 4 Jun – Kerajaan digesa mempertimbangkan memberi keistimewaan dan keutamaan vaksin Covid-19 kepada para penderma darah sekurang-kurang yang sudah lima kali berbuat demikian.

Timbalan Ketua Badan Pimpinan BERSATU Negeri Selangor, Dato’ Dr. Zulkafperi Hanafi berkata, langkah itu penting supaya para penderma darah dapat meneruskan aktiviti murni berkenaan.

Beliau yang berpengalaman 35 tahun dalam bidang kesihatan sebagai doktor perubatan memberitahu, sebelum ini keistimewaan dan keutamaan vaksin tu hanya diberikan kepada mereka yang telah menderma darah sebanyak 50 kali atau lebih.

“Jumlah 50 kali itu perlu dilihat semula dan kita perlu ingat bahawa setiap orang hanya boleh menderma sekali dalam masa tiga bulan. Nak tunggu 50 kali itu sudah tentu mengambil masa bertahun-tahun lamanya.

“Saya syorkan mereka yang telah menderma lima kali atau lebih juga diberikan keutamaan mendapatkan vaksin.

“Kerajaan harus sedar mereka yang menderma darah di negara ini pun tidak ramai dan tidak sampai 1 juta orang.

“Dengan pandemik Covid-19 masa kini, kemungkinan ada penderma yang terpaksa menghentikan aktiviti murni mereka itu sebagai langkah penjagaan dari terkesan wabak berkenaan.

“Jika kerajaan berikan peluang supaya lebih ramai penderma darah dapat keutamaan vaksin, saya yakin ini sebagai galakan. Tambahan pula, kita tidak mahu tabung darah negara kita kekurangan bekalan darah,” katanya.

Di samping itu kata beliau, kerajaan juga harus sedar bahawa mereka yang menderma darah bukan diberikan bayaran tetapi sebaliknya ia merupakan aktiviti murni dan secara sukarela.

“Kita lihat ramai yang menderma darah kerana mahu menyumbang kepada negara. Ini semangat patriotic seperti juga yang dilakukan oleh tentera, polis, bomba dan banyak lagi.

“Orang yang menderma darah berbuat demikian bagi membantu dan menyelamatkan nyawa orang lain,” katanya.

Oleh itu, katanya, dengan membuka lebih ruang dan melonggarkan syarat kepada penderma darah supaya diberikan keutamaan menerima vaksin Covid-19, ia tidak merugikan kerajaan.

“Kita juga perlu ingat bahawa penderma darah ini sangat penting dan menjadi aset kepada kesihatan negara kerana sumbangan mereka dapat menyelamatkan nyawa orang lain,” katanya.