KALABAKAN 6 Jun – Pengalaman positif Covid-19 memberi kesedaran kepada Abdul Karim Abdul Wahib, 62, bahawa suntikan vaksin amat penting bukan sahaja untuk menyelamatkan nyawa sendiri, malah keluarga serta orang-orang tersayang yang berada di sekeliling.

Abdul Karim Abdul Wahib 62, Ketua Bahagian BERSATU Kalabakan.

Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Bahagian Kalabakan itu berkata, dia memang tidak menduga sama sekali bahawa akan disahkan positif Covid-19 disebabkan mempunyai kontek rapat ketika itu.

Jelasnya, akibat pengesahan positif itu, dia telah dirawat selama tujuh hari di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu pada September tahun lalu sebelum dapat pulih sepenuhnya.

“Saya sendiri tidak menyangka positif Covid-19, kerana seperti tiada simpton tapi kenyataannya doktor sahkan bahawa saya positif Covid-19.

“Ketika itu macam-macam yang difikirkan, hati dan fikiran pun bercelaru mengenai nasib dan masa depan saya. Apakah saya akan ‘survive’?

“Memang sebelum ini tidak terfikirkan pun, tapi saya kuatkan semangat untuk pulih apabila memikirkan mengenai keluarga tersayang,” katanya.

Bermula dari situ, Abdul Karim mahu rakyat sedar bahawa vaksin percuma yang disediakan oleh kerajaan amat penting untuk melindungi diri dan orang terdekat.

“Banyak tohmahan dan tanggapan negatif dilemparkan kepada kerajaan yang menyediakan vaksin untuk rakyat hingga ramai juga yang terpengaruh.

“Orang kita mudah percaya kalau cerita pasal keburukan vaksin, tapi bila dah dijangkiti dan positif Covid-19, ketika itulah baru kita sedar betapa pentingnya vaksin dan keperitan untuk melawan Covid-19,” katanya yang baru menerima suntikan pertama vaksin pada 28 Mei lalu.

Mengenai kumpulan anti-vaksin yang cuba mempengaruhi rakyat agar menolak suntikan Covid-19, Abdul Karim menasihatkan supaya mereka segera menghentikan perbuatan tidak berfaedah itu.

“Jika anda anti-vaksin dan tidak mahu terima suntikan, simpan sahaja untuk diri sendiri dan janganlah pengaruhi orang lain untuk berbuat demikian.

“Fikirkan, jika orang lain itu positif dan meninggal dunia, adakah anda (kumpulan anti-vaksin) hendak berbangga dan bertanggungjawab atas perbuatan yang dilakukan,” katanya.

Abdul Karim turut menyatakan rasa peliknya mengapa kumpulan anti-vaksin beria-ria menghasut rakyat supaya menolak suntikan vaksin.

“Apa tujuan sebenar mereka, yang pasti bukan untuk menyelamatkan nyawa rakyat tapi menyusahkan rakyat,” katanya.

Menjawab pertanyaan, beliau berkata, jumlah penduduk di Kalabakan yang dianggarkan kira-kira 30,000 dan sehingga kini lebih 13,000 orang sudah menerima suntikan vaksin berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya sedia membantu pihak berkuasa untuk mendaftarkan penduduk terbabit supaya mengambil vaksin namun disebabkan ‘total lockdown’ perkara itu agak terbantut.

“Penduduk ramai yang mahu terima vaksin dan mereka sering bertanya bila boleh perolehi suntikan berkenaan.

“Disebabkan ramai yang masih belum mendaftar, jadi usaha perlu dibuat untuk mendaftarkan mereka,” katanya.