Datuk Wan Saiful Wan Jan, Ketua Penerangan BERSATU Malaysia.

Saya amat bersyukur mendengar pengumuman Kementerian Kesihatan bahawa kadar kebolehjangkitan atau Ro/Rt Covid-19 pada 6 Jun 2021 telah turun ke 0.99.

Pada hari ini pula, kita mendengar bahawa bilangan kes baharu juga telah turun ke 5,271 kes.

Saya juga tertarik dengan data ‘SEIR Model’ bilangan kes sebenar berbanding bilangan kes jangkaan jika tiada pematuhan kepada SOP, seperti yang dinyatakan oleh Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah kelmarin.

 Jika kita teliti data tersebut, kita akan melihat bahawa tanpa pematuhan SOP, maka Malaysia akan menghadapi bilangan kes yang lebih tinggi. 

Tetapi dengan langkah ‘lockdown’ dan juga penguatkuasaan yang lebih ketat, maka lekuk Covid-19 telah mula dapat kita landaikan dalam masa beberapa hari sahaja.

Data terkini menunjukkan bahawa keputusan kerajaan untuk melaksanakan ‘lockdown’ yang ketat adalah tepat dan telah mula menunjukkan hasil yang diinginkan.

Ia sekaligus menafikan segala tuduhan yang dilemparkan seolah-olah kerajaan tidak mempunyai rancangan yang terperinci. Realitinya, kita telah mula melihat hasil positif daripada tindakan kerajaan.

Walaupun ada pihak yang tak habis-habis merungut untuk meraih kepentingan politik peribadi, data menunjukkan bahawa kita berada di jalan yang betul dan kita boleh berjaya jika kita terus mematuhi segala nasihat yang dikeluarkan oleh kerajaan.

Biarlah ‘kluster merungut’ terus merungut kerana mereka memang mahu mencari perhatian untuk diri mereka. Buat apa sekalipun, kluster merungut ini akan sentiasa mencari jalan untuk merungut. 

Saya menyeru semua kita, tak kira rakyat biasa mahupun mereka yang berpangkat, untuk bersungguh-sungguh mematuhi SOP yang ditetapkan. 

Yang penting kita jaga kita dan jaga saudara-mara serta jiran-jiran kita supaya kita semua akan menyumbang dalam perang melawan Covid-19 ini. 

Kerajaan sedang berusaha sehabis baik dalam mengeluarkan SOP dan menguatkuasakan SOP. Mari kita sokong usaha kerajaan demi kesihatan kita dan keluarga kita sendiri.

 

DATUK WAN SAIFUL WAN JAN

Ketua Penerangan Bersatu Malaysia