PULAU PINANG 7 Jun – Pengerusi Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) Pulau Pinang, Oh Tong Keong mahu sebuah pasukan khas ditubuhkan bagi menangani segala masalah gangguan penyaluran bekalan makanan dan barangan keperluan harian yang dihadapi penduduk yang terkesan susulan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Untuk itu, beliau berkata, kata sepakat serta penyelesaian perlu dicari dan kerajaan Pusat mahupun kerajaan negeri Pulau Pinang harus mengetepikan perbezaan politik demi kepentingan rakyat.

“Tempoh hari, kerajaan telah mengumumkan sebanyak 13 lokaliti di Mukim 12 Barat Daya, Pulau Pinang dikenakan PKPD berkuat kuasa dari 4 Jun hingga 17 Jun akibat keadaan Covid-19 di negeri Pulau Pinang bertambah serius. 

“Bagi kawasan PKPD, penduduk hanya dibenarkan membeli barang dan makanan keperluan harian di kedai yang berada dalam kawasan PKPD sahaja. 

“Kami tahu tindakan ini bertujuan memutuskan rantaian penularan Covid-19, tetapi ia telah menyukarkan penduduk setempat untuk mendapatkan makanan, kerana tiada kedai dan pasar awam yang terletak dalam kawasan berkenaan,” katanya. 

Beliau berkata, setelah menerima permintaan bantuan daripada penduduk yang terkesan, parti Gerakan Pulau Pinang telah menghulurkan bantuan makanan kepada penduduk Bayan Lepas yang kini berada dalam PKPD.

Jelasnya, antara bantuan itu termasuk beras, keperluan asas lain serta pelitup hidung dan mulut.

“Walaupun sumber bekalan kami terhad, namun kami akan cuba sedaya upaya untuk terus memberi bantuan kepada golongan yang memerlukan dalam tempoh yang mencabar ini,” katanya.

Justeru, beliau berharap pihak berkuasa termasuk kerajaan negeri, Ahli Parlimen dan ADUN mengambil berat tentang isu bekalan makanan di kawasan PKPD.

“Kami harap bekalan makanan dan barang keperluan harian dibekalkan dengan secukupnya kepada penduduk yang terkesan.

 “Wakil rakyat harus tahu langkah yang perlu diambil setelah pengumuman perintah kawalan dibuat untuk memastikan keselamatan rakyat,” katanya.