ALOR SETAR 9 Jun – Semua pihak perlu akur bahawa untuk menamatkan rantaian Covid-19, rakyat perlu memastikan seramai mungkin mendapat akses kepada vaksin.

Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Bahagian Alor Setar, Dzowahir Abdul Ghani berkata, perkara tersebut perlu dijadikan fokus utama di mana masyarakat berhadapan dengan isu nyawa manusia selain masalah ekonomi.

Menurutnya, semua lapisan masyarakat perlu bersama kerajaan bagi menjayakan program imunisasi kebangsaan agar dapat menjalani kehidupan seperti biasa.

Sehubungan itu kata beliau, fokus utama BERSATU Alor Setar ialah bagaimana memastikan semua orang dapat mendaftar vaksin dan menerimanya. 

Jelasnya, dalam masa terdekat pihaknya akan melancarkan ‘one stop centre’ untuk memudahkan pendaftaran vaksin dan sukarelawan MyVAC yang akan dimaklumkan kelak.

“Rakyat perlu faham kepentingan vaksin dan masalah yang dihadapi sekarang adalah kaedah untuk mendaftar dan capaian Internet.

“Jadi kita perlu bantu mereka mendaftar menggunakan applikasi MySejahtera.” 

“Kita juga sedang merancang mengadakan perkhidmatan pengangkutan untuk menghantar penduduk ke pusat vaksinasi,” katanya yang baru sahaja menerima vaksin dos pertama di Putra Medical Centre di sini.